Pos No. 808 - KISAH NABI SULAIMAN A.S DALAM SURAH SEMUT

Dan
sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud
dan Nabi Sulaiman dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: Segala
puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami
kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman. (15)
Dan
Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud dan
(setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: Wahai umat manusia, kami telah
diajar mengerti bahasa pertuturan burung dan kami telah diberikan serba
sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang
demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata. (16)
Dan
dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia
serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan
masing-masing. (17)
(Maralah angkatan itu)
hingga apabila mereka sampai ke "Wadi an-Naml", berkatalah seekor semut:
Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan
Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka
tidak menyedari. (18)
Maka tersenyumlah Nabi
Sulaiman mendengar kata-kata semut itu dan berdoa dengan berkata: Wahai
Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang
Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap
mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan
limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh. (19)
Dan
(setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta
dalam tenteranya) lalu berkata: Mengapa aku tidak melihat burung
belatuk? Adakah dia dari mereka yang tidak hadir? (20)
Demi
sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya,
atau aku akan menyembelihnya, kecuali dia membawa kepadaku alasan yang
terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab dia tidak hadir). (21)
Burung
belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata
(kepada Nabi Sulaiman): Aku dapat mengetahui secara meliputi akan
perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya dan aku datang kepadamu
dari negeri Saba` dengan membawa khabar berita yang diyakini
kebenarannya. (22)
Sesungguhnya aku dapati
seorang perempuan memerintah mereka dan dia telah diberikan kepadanya
(serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan dia pula
mempunyai singgahsana yang besar. (23)
Aku
dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan
meninggalkan ibadat menyembah Allah dan Syaitan pula memperelokkan pada
pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari
jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk; (24)
(Mereka
dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang
mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi dan yang
mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan. (25)
Allah! Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar. (26)
Nabi
Sulaiman berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah
benar apa yang engkau katakan itu ataupun engkau dari golongan yang
berdusta. (27)
Pergilah bawa suratku ini,
serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka;
dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka. (28)
(Setelah
membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba`: Wahai
ketua-ketua kaum! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat
yang mulia. (29)
Sesungguhnya surat itu dari
Nabi Sulaiman dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah,
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, (30)
Bahawa
janganlah kamu meninggi diri terhadapku dan datanglah kamu kepadaku
dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah). (31)
Raja
perempuan itu berkata lagi: Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan
kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah
memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan
mempersetujuinya. (32)
Mereka menjawab: Kita
adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan
dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu
fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan. (33)
Raja
perempuan itu berkata: Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah
negeri, mereka merosakkannya dan mereka menjadikan penduduknya yang
mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan. (34)
Dan
bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan
menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita
(35)
Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu)
datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya):
Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana
apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah
diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian
hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang
dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan
megah). (36)
Kembalilah kepada mereka, (jika
mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya kami akan
mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya
menentangnya dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba` dengan
keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan. (37)
Nabi
Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): Wahai
pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku
singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah
diri memeluk Islam? (38)
Berkatalah Ifrit dari
golongan jin: Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun
dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk
membawanya, lagi amanah. (39)
Berkata pula
seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan
membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat
singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah dia: Ini ialah dari
limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku
tidak mengenangkan nikmat pemberianNya dan (sebenarnya) sesiapa yang
bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya
sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal
kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.
(40)
Nabi Sulaiman berkata pula (kepada
orang-orangnya): Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita
melihat adakah dia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk
mengenal singgahsananya itu) atau dia termasuk dalam golongan yang tidak
dapat mencapai pengetahuan yang demikian. (41)
Maka
ketika dia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa
inikah singahsanamu? Dia menjawab: Boleh jadi inilah dia dan kami telah
diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini dan kami
pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah). (42)
Dan
dia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu ialah) apa
yang dia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah;
sesungguhnya adalah dia (pada masa itu) dari puak yang kafir. (43)
(Setelah
itu) dikatakan kepadanya: Dipersilakan masuk ke dalam istana ini. Maka
ketika dia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air,
serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman
berkata: Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin
berkilat dari kaca. (Mendengar yang demikian), Balqis berdoa: Wahai
Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang
aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi
Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam. (44)