Monday 22 August 2011

Menangani Gejala Rasuah –Ser. 12 Akta Pencegah rasuah 1961 mendifinasikan rasuah sebagai perbuatan menerima sebarang bentuk suapan sebagai dorongan, upah, atau galakan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan. Contoh suapan tersebut termasuklah wang ringgit, komisen, hadiah, lessen, tanah, dan lain-lain. Rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira orang, masa, dan tempat. Hal ini terjadi disebabkan orang yang memberi rasuah akan mendapat sesuatu. Begitu juga halnya dengan orang yang menerima. Dari aspek kepemimpinan, tahap kejujuran seseorang pemimpin merupakan penentu kepada berleluasnya amalan ini. Jika seseorang pemimpin gagal menunjukkan contoh yang terbaik dan terlibat dalam gejala ini, anak buah mereka akan hilang sikap tanggungjawab. Sistem pentadbiran yang lemah boleh menyebabkan berlakunya rasuah. Risiko ini lebih tinggi di jabatan-jabatan yang mempunyai hubungan langsung dengan orang awam. Selain itu, masyarakat juga merupakan salah satu elemen penting yang boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang pemimpin. Seseorang pemimpin tidak akan terdorong untuk menerima rasuah sekiranya masyarakat tidak cuba menyogok atau tidak cuba menolak permintaan pegawai tertentu untuk menyelesaikan sesuatu perkara melalui jalan mudah. Bahayanya lagi, jika berterusan, hal ini boleh menjadi kebiasaan dalam sesuatu urusan. Mengikut penyelidikan ahli-ahli akademik, rasuah mempunyai kesan positif dan negatif. Walau bagaimanapun, tidak dapat disangkal bahawa kesan negatifnya lebih besar kepada masyarakat dan negara. Gejala tersebut boleh menghalang hasrat negara untuk mencapai status negara maju. Gejala rasuah juga boleh menyebabkan berlakunya pengaliran wang ke negara-negara asing. Perkara ini boleh terjadi apabila sesetengah pemimpin menerima rasuah di luar negara, untuk mengelak daripada dikesan walaupun pemberinya terdiri daripada warga tempatan. Untuk menjamin keselamatan mereka, wang tersebut disimpan di sana. Keadaan ini mengakibatkan kerugian kepada negara kerana negara akan kehilangan modal. Kelicinan dan kecekapan pentadbiran sesebuah institusi juga akan terjejas akibat rasuah. Kebiasaannya, mereka yang terlibat dengan gejala ini tidak akan mempercepat sesuatu kerja dengan harapan mereka akan mendapat sogokan untuk membereskan sesuatu urusan dengan segera. Amalan ini boleh merosakkan etika perkhidmatan, kecekapan, dan prestasi kerja sesebuah organisasi. Kesan yang paling nyata ialah kestabilan politik dan ekonomi sesebuah negara akan tergugat. Nilai-nilai moral akan runtuh dan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin akan menurun. Sehubungan dengan itu, rasuah merupakan antara penggugat utama pembangunan di negara-negara Dunia Ketiga. Kerajaan dan rakyat yang korup menjadi sebab dominan ke arah membantutkan kemajuan dalam segenap aspek kehidupan manusia. Hal ini disebabkan kerajaan ialah tonggak kecemerlangan negara, manakala rakyat merupakan kumpulan sokongan untuk mencapai kejayaan yang dicita-citakan. Oleh itu anda hendaklah mengelakkan dari rasuah. (Kertas 1,ms 388). ----------------------ooo…………..

No comments:

Post a Comment