Monday, 13 February 2012

Akhlak Itu Perhiasan Mukmin

اسَّلآمُ عَـلـَيْكـُمْ وَرَحْمَـة ُاللهِ وَبَرَكــَتـُه

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم ِ

Akhlak Perhiasan Mukmin

Sesungguhnya umat yang bertaqwa ialah mereka yang sentiasa mengamalkan akhlak yang baik, mulia dan nilai hidup yang murni. Akhlak ditakrifkan sebagai kebiasaan, perangai, tabiat dan tingkah laku dalam agama. Akhlak yang baik disebut juga sebagai adab atau etika dan sopan santun yang diterjemahkan dari hati yang bersih dan ikhlas. Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran memuji akhlak Baginda Rasulullah s.a.w. menerusi ayat 4 Surah Al-Qalam:

وَإِنـَّكَ لـَعَـلىَ خُـلـُـقٍ عَـظِيْـم ٍ(4)

Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang besar (mulia). (Al-Qalam ayat 4).

Profesor Yusuf Al-Qardawi menyebutkan bahawa sifat yang baik dan etika hidup yang murni (akhlak) itu merangkumi beberapa aspek.

Akhlak Perhiasan Mukmin

1.Akhlak terhadap diri sendiri. Ia merangkumi penjagan kesihatan diri, membersih jiwa dari akhlak yang buruk, melatih jiwa supaya berfikiran baik dan menganalisa, tidak melampaui batas, isitqamah, bertawakkal dan bertaqwa keada Allah, bercakap benar, mampu menahan kamarahan, pemaaf, mematuhi peraturan, penyabar, ikhlas berserdehana tidak mementingkan diri sendiri, tidak mementingkan wang ringgit dan kebendaan dan sebagainnya lagi.


2. Akhlak terhadapk keluarga. Dalam melaksanakan tuntutan akhlak jenis ini seseorang suami perlu sentiasa bergaul dengan isteri dengan cara yang baik dan begitulah halnya pihak isteri, berbuat baik kepada kedua ibubapa, berlemah lembut dan penyayang kepada orang yang lebih tua atau muda dari kita, tidak membunuh anak kerana bimbangkan kemiskinan, berlaku adil kepada semua orang, anak-anak dan isteri, berbuat baik dan memberi bantuan kepada kaum kerabat yang dekat atau pun yang jauh.


3.Akhlak terhadap masyarakat. Antaranya termasuklah adab dan tatacara bergaul dengan angguta masyarakat dan jiran tetangga seperti memulakan dengan memberi salam apabila bertemu, meminta izin apabila memasuki sesebuah rumah dengan cara memberi salam kepada penghuninya terlebih dahulu, jangan mengurangkan timbangan apabila berurusniaga, kembalikan amanah kepada ampunyanya. Menepati janji, menjadi saksi yang benar, menjadi pendamai, memaafkan kesalahan orang, mengasihi orang lain, menyeru kepada kebaikan, mencegah keburukan, membalas kejahatan dengan kebaikan dan lain-lain lagi.

4. Akhlak terhadap alam. Seperti menyedari bahawa alam semesta ini diamanahkan oleh Allah s.w.t. kepada manusia. Kepelbagaian alam ini memanifestasikan ayat atau tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t., dan semasa meneroka dan mengguna setiap kurniaan yang wujud di dalam alam, manusia harus sederhana dan bermatlamatkan kepentingan bersama; tidak merusakkan sumber alam, menjaga sumber air dan tidak menguturkannya, menanam pokok-pokok yang boleh dimanafaatkan buahnya atau daunnya, tidak membazir sewaktu menggunakan apa sahaja sumber ‘alam.


5. Akhlak terhadap Allah. Akhlak yang paling tinggi dan membatasi segala-galanya adalah akhlak manusia terhadap Allah, sumber segala hukum dan nilai hidup. Tuhan yang berhak mendapat semua pujian dan segala ketaatan. Dialah sahaja yang layak dan perlu disembah, dan Dialah sahaja tempat meminta pertolongan, pengampunan dan hidayat. Antara kewajipan, manusia terhadap Allah termasuk, beriman kepada Allah dan kepada apa yang diwahyukan Nya, mematuhi segala perintahnya, menyelidiki tanda-tanda (ayat) Allah dan kejadian ‘alam, mensyukuri nikmat Nya, redza dengan segala ketentuan qada’ dan qadar Nya, bertawakkal kepada Nya, tidak berputus asa terhadap Nya, bertasbih dan berzikir beribadat, bertaubat dan mencintai Allah.

Dalam Surah Al-Hajj ayat 32 Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Demikianlah (ajaran Allah), dan sesiapa yang menghormati syi’ar-syi’ar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-saifat taqwa hati orang mukmin…..”

Akhlak yang mulia itu antaranya ialah lemah lembut, pemaaf, pemurah, rendah diri, bersabar, berani, manis muka dan mesara, kasih sayang, bertolak ansur, amanah dan lain-lain lagi.


Semua sifat-sifat ini adalah yang dikatakan sifat-sifat hati yang baik atau sifat-sifat yang terpuji atau dengan kata lain, ia adalah disebut sebagai Mahmudah. Sifat-sifat hati yang baik ini akan memberi cahaya kepada kehidupan kita yang zahir ini. Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yab bermaksaud:


”Di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota lahir manusia itu. Jika daging itu rosak maka seluruh anggota lahir itu akan rosaklah dia. Ituah dia hati manusia....!

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Kesimpulan.

Oleh itu perbaikilah hati dengan sungguh-sungguh agar terbuka pintu-pintu syurga. Tanamlah di dalam diri akhlak yag baik dan sematkanlah di hati sifat-sifat Mahmudah iaitu sifat-sifat yang terpuji, semoga Allah s.w.t. sentiasa memberi taufik dan hidayatnya kepada diri kita di sepanjang hidup kita ini.

Sekianlah dahulu, Wassala mualaikum......!


---------------oooooooooooo-----------------

No comments:

Post a Comment