Saturday, 18 February 2012

Jadikan Budaya Tidak Mementingkan Diri (91)

BAB 39 –Jadikan Budaya Tidak Mementingkan Diri (91)

Sesungguhnya pada zaman ini kebanyakan manusia lebih suka mementingkan diri sendiri dalam pelbagai perkara yang mereka lakukan. Seharusnya mereka harus sedar bahawa sifat mementingkan diri sendiri merupakan amalan yang buruk yang tidak seharusnya diamalkan dalam kehidupan seharian.

Pelbagai masalah akan timbul apabila sifat tersebut diamalkan. Antaranya, orang tidak akan membantu atau menolong seseorang yang suka mementingkan diri sendiri, timbulnya pergaduhan, hilangnya keharmonian dalam persahabatan, kekeluargaan dan sebagainya.

Oleh itu dalam kehidupan bermasyarakat, setiap orang perlu mempunyai sifat mengambil berat serta mementingkan bukan sahaja diri mereka tetapi juga masyarakat, organisasi dan sebagainya. Adalah wajar sekali bagi mereka mengamalkan perkara-perkara berikut yang melibatkan tidak mementingkan diri sendiri:-


1. Meluangkan masa untuk berjumpa dan bermesra dengan jiran tetangga agar tali silaturahim dapat dieratkan sepanjang masa.

2. Turut serta dalam aktiviti kerja-kerja gotong-royong dan saling membantu untuk melakukan kerja-kerja yang berbentuk sosial.


3. Mengambil berat tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat sama ada yang rasmi atau tidak rasmi.
4. Menyumbangkan sebahagian daripada harta kekayaan dan penghasilan yang diperoleh untuk kemudahan dan kepentingan masyarakat seperti menderma untuk anak-anak yatim dan sebagainya.
Firman Allah SWT:

مَثـَلُ الـَّذِيـْنَ يـُنـْفـِقـُوْنَ اَمـْوَا لـَهُمْ فِىْ سَبـِيـْلِ اللهِ كـَمـَثـَلِ حَبـَّة ٍ اَنـْبـَتـَتْ سَبـْعَ سَنـَا بِلَ فِىْ كـُلِّ

سُنـْبـُلـَة ٍ

مـَّا ءَــة ُ حـَبـَّة ٍ ط وَالله ُ يـُضَعـِفُ لـِمـَنْ يـَّشـَآء ُ ط

وَالله ُ وَاسِع ٌعـَلـِيـْم ٌ (البقرة 261)

Bermaksud: “Misalnya orang-orang yang menafkahkan harta-hartanya pada jalan Allah, seperti sebuah biji yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai ada seratus biji, dan Allah melipatkan gandakan bagi siapa yang dikehendaki Nya, dan Allah luas (kurnia Nya) lagi Maha Mengetahui.”
(Al-Baqarah ayat 261)


5. Sentiasa prihatin terhadap penderitaan yang ditanggung oleh orang lain.


6. Memberi bantuan kepada orang yang memerlukannya sedaya upaya yang boleh.

Apabila setiap orang mempunyai sifat tidak mementingkan diri sendiri, maka kehidupan masyarakat akan menjadi lebih bahagia kerana mereka akan saling membantu di antar satu sama lain.
Pelbagai masalah di dalam keluarga serta masyarakat akan dapat diatasi dengan sebaik-baiknya apabila setiap orang memberikan kerjasama yang sewajarnya. Seterusnya berikutan itu sebuah keluarga dan masyarakat penyayang akan dapat diwujudkan.


Justeru itu penulis mengajak marilah kita bersama-sama sentiasa mengamalkan sifat yang tidak mementingkan diri sendiri demi untuk kebahagian kita bersama di dunia dan di akhirat kelak.
Wassala mua laikum…….

------------oooooooooo--------------------

No comments:

Post a Comment