Monday 9 January 2012

MENGHINA DAN MENGEJEK. (486)

MENGHINA DAN MENGEJEK. (486)

Ketahuilah bahawa Menghina orang atau pun mengejek-mengejeknya adalah haram menurut syarak. Allah SWT telah berfirman:

يَأَيُّهَا الـَّذِيْنَ آمَنُوْا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَــى أَنْ يَكُوْنُوْا خَيْرًا مِنْهُمْ, وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسـَـى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ.

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain. Sebab mungkin sekali mereka yang di hina itu lebih baik dari yang menghina. Dan jangan pula kaum perempuan menghina kaum perempuan yang lain, barangkali mereka yang di hina itu lebih baik dari mereka yang menghina.” (Al-Hujarat ayat 11)


Ada pun yang dimaksudkan dengan penghinaan, ialah memandang rendah atau menjatuhkan taraf orang lain, atau pun mendedahkan segala ke’aiban-ke’aiban dan kekurangan-kekurangan mereka dengan tujuan menjadikannya sebagai bahan tertawaan. Ini boleh berlaku dengan menceritakan perihal orang dalam tutur katanya, dalam peri lakunya atau pun dengan merendahkan diri orang lain, atau menjadikannya sebagai bahan tertawaan di mata orang ramai, menghina dan memperkecil kedudukannya.

Dalam hal ini Allah SWT telah mengingatkan kita seperti dalam firman Nya di atas:

”Mungkin sekali yang di hina itu lebih baik dari yang menghina, bermakna jangan kamu merendahkan atau memperkecilkannya, sebab mana tahu barangkali orang itu lebih mulia dan baik dari kamu.”

Ada pun kelakuan semacam itu, hanya dilarang terhadap orang-orang yang akan merasa tersinggung hatinya, bila ditujukan penghinaan serupa itu. Tetapi jika orang itu memang bersedia untuk menerima penghinaan, atau pun ia reda dijadikan dirinya sebagai bahan tertawaan orang, umpamanya ia merasa senang bila ditertawakan orang, maka penghinaan yang di tujukan kepadanya itu dikira sebagai senda gurauan sahaja, dan mengenai gurauan pula dijelaskan bahawa tiada yang melebihi hadnya, iaitu mana-mana perkara yang menjatuhkan maruahnya di hadapan orang ramai tidaklah boleh dilakukan.

Adapun penghinaan yang diharamkan itu, ialah apabila orang yang di tujukan penghinaan itu merasa kurang senang dan akan menjadi marah, di sebabkan dirinya di rendahkan, atau pun di ejek-ejek seperti yang sering juga berlaku bila seseorang mentertawakan percakapan orang lain kerana percakapannya salah, atau tidak teratur. Atau pun ia mentertawakan kelakuannya tunggang balik dan tidak sempurna, atau pun seperti mentertawakan ingatannya yang selalu lupa, atau pun terhadap rupa dan bentuknya disebabkan ada cacat padanya.


Mentertawakan terhadap semua hal-hal yang dalam contoh-contoh di atas adalah terlarang dalam hukum syarak. Sebabnya akan menjadikan pergaduhan pula dan akan mengeruhkan perhubungan persahabatan sesama insan. Juga akan menjatuhkan maruah bagi seseorang itu.


Maka mulai hari ini janganlah kita membuat sesuatu yang boleh menjatuhkan martabat atau air muka seseorang itu, dan kita fikirkanlah bagaimana jika kita pula dilakukan oleh orang seperti itu. Kita elakkan membuat demikian itu maka akan menjadikan kita disayangi orang dan kita tidak ada mempunyai musuh atau orang yang akan membencikan kita. Tabiat yang baik demikian akan menjadikan kita sentiasa aman damai dan amat di hormati sekalian insan.


Sekian, wassalam mulaikaum….!

--------------ooooooooooooooo-------------------------

No comments:

Post a Comment