Monday 30 January 2012

TABAH TERHADAP KESUSAHAN UNTUK AGAMA.

TABAH TERHADAP KESUSAHAN UNTUK AGAMA.

Tidak mungkin bagi orang yang lemah seumpamanya kita untuk menanggung kesusahan dan kepayahan dalam menyebarkan agama Islam sebagaimana yang telah ditanggung oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a.. Malah berniat untuknya pun adalah susah. Kitab-kitab sejarah penuh dengan kisah-kisah sedemikian tetapi untuk beramal dengannya telah menjadi perkara yang asing. Malah kita tidak ingin pun bersusah-payah untuk mengambil tahu tentang kisah-kisah tersebut. Dalam bab ini dinukilkan beberapa kisah sebagai contoh. Penulis memulakan dengan kisah Nabi Muhammad SAW kerana menyebut Baginda SAW ialah sebab keberkatan.

PERJALANAN NABI SAW KE TAIF.
Setelah mendapat tugas kenabian, Nabi Muhammad SAW menjalankan usaha dakwah di Mekah selama sembilan tahun dan terus berusaha demi petunjuk dan islah kaum Baginda SAW. Di kalangan orang yang menolong Baginda SAW terdapat hanya segolongan kecil daripada mereka yang telah menerima Islam serta segelintir orang yang masih belum memeluk Islam. Kebanyakan orang kafir Mekah berusaha sedaya upaya menyusah dan mempersendakan Baginda SAW serta para sahabat r.a. dengan berbagai-bagai cara tanpa melepaskan sebarang peluang yang ada.

Bapa sudara Baginda, Abu Talib juga ialah antara mereka yang baik hati. Walaupun tidak memeluk Islam, dia tetap membantu Baginda dalam semua segi. Selepas sepuluh tahun Baginda menjadi Nabi, apabila Abu Talib meninggal dunia, orang kafir pun mendapat lebih banyak pejuang untuk menghalang penyebaran Islam dan menyeksa orang Islam dengan berbagai-bagai cara secara terbuka. Nabi SAW telah pergi ke Taif dengan anggapan bahawa di sana ada kabilah Thaqif yang ramai bilangannya. Sekiranya kabilah tersebut memeluk Islam maka kaum Muslimin di Mekah akan mendapat keselamatan daripada segala kesusahan tersebut dan bandar Taif akan menjadi pusat penyebaran Islam.

Setelah tiba di sana, Baginda telah berbicara dengan tiga pembesar yang dianggap tinggi darjatnya. Baginda menyeru mereka kepada agama Allah SWT dan berusaha menarik perhatian mereka untuk membantunya. Walau bagaimanapun, mereka bukan sahaja tidak menerima ajaran Baginda sebaliknya telah menjawab secara kasar dan tidak berakhlak sekali. Sekurang-kurangnya mereka patut melayan tetamu yang baru datang dengan baik sesuai dengan sifat suka melayan tetamu yang memang termasyhur di kalangan bangsa Arab. Sebaliknya mereka telah menjawab secara kasar. Mereka juga tidak rela Nabi SAW tinggal di sana. Nabi menganggap mereka yang merupakan pembesar kaum ialah orang yang baik dan akan bercakap dengan sopan tetapi salah seorang daripada mereka telah berkata. “Hoi…! Engkaulah orangnya yang Allah SWT hantar sebagai Nabi..?”
Orang kedua pula berkata: “Tidakkah orang lain daripada kamu yang Allah SWT temui untuk diutus sebagai Nabi..”

Orang ketiga pula berkata: “ Aku tidak ingin bercakap dengan kamu. Kerana kalaulah kamu sememangnya Nabi sebagaimana didakwa maka mengingkari percakapan mu mendatangkan musibah dan sekiranya kamu seorang pendusta, aku tidak ingin bercakap dengan orang seumpama itu…”

Apabila Nabi SAW tiada menaruh harapan lagi terhadap pembesar-pembesar itu, Baginda cuba bercakap-cakap pula dengan orang lain kerana Baginda ialah seorang yang mempunyai hemah dan kecekalan seumpama gunung. Malangnya tiada seorang pun yang sanggup menerima. Bukan sahaja mereka tidak menerima bahkan mereka telah berkata kepada Nabi SAW.: “Keluarlah dari bandar kami ini serta-merta. Pergilah ke mana-mana yang kamu suka…”

Apabila Baginda sudah langsung tiada menaruh harapan lagi terhadap mereka maka Baginda telah memulakan langkah untuk pulang. Mereka telah menghantar budak-budak untuk mengejar, mengejek, mempersenda dan melontari Baginda dengan batu hinggakan berdarah dan kedua-dua kasut Baginda terkena dengan darah yang mengalir. Dalam keadaan itulah maka Baginda mengambil keputusan untuk pulang. Apabila Baginda sudah selamat daripada pengacau-pengacau tersebut Baginda SAW pun berdoa yang bermaksud:
“Ya Allah. Kepada Mu aku mengadu kelemahan ku, kekurangan daya-upaya ku dan kehinaan ku pada pandangan manusia. Ya..! Arrahmarrahimi..! Engkaulah Tuhan orang yang ditindas. Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku ini, kepada orang asing yang akan menyerang aku atau kepada musuh yang mengusai aku…? Sekiranya Engkau tidak murka kepada ku maka aku tidak peduli..! Namun, afiat Ku sudah cukup buat ku. Aku berlindung dengan nur wajah Mu yang menerangi segala kegelapan dan teratur di atas nur itu urusan dunia dan akhirat, daripada Engkau menurunkan kemarahan Mu kepada ku atau Engkau murka kepada ku. Kepada Mu lah aku tetap merayu sehingga Engkau reda. Tiada sebarang daya (untuk melakukan kebaikan) dan tiada upaya (untuk meninggalkan kejahatan) kecuali dengan Mu.”

Dengan doa sedemikian itu maka Jibrail a.s. datang memberi maklumat bahawa “Allah SWT telah mendengar perbualan kamu itu dengan Tuhan dan telah menghantar satu malaikat yang bertanggungjawab ke atas gunung-gunung. Perintahkan sahaja malaikat itu supaya melakukan apa-apa yang Baginda kehendaki..”

“Malaikat berkenaan berkata..”Aku akan menunaikan segala yang diperintahkan oleh Baginda. Sama ada diperintahkan supaya aku melagakan bukit-bukit di kedua-dua arah supaya mereka semua akan hancur atau apa-apa sahaja hukuman yang Baginda tetapkan pada ku..”

Oleh sebab Baginda SAW ialah seorang yang amat pengasih lagi belas kasihan maka Baginda telah memberi jawapan…” Aku tetap menaruh harapan kepada Allah SWT bahawa walaupun mereka ini tidak memeluk Islam, pasti akan lahir orang yang akan menyembah Allah SWT dan beribadat kepada Nya di kalangan anak-anak mereka….”
Kesimpulan.

a. Baginda berusaha mengembangkan agama Islam, walaupun Baginda telah sedar bahawa penduduk
Taif bukanlah mudah hendak di dakwah mereka masuk Islam.

b. Namun Baginda pergi juga ke Taif dengan sabar dan penuh menaruh harapan agar berjaya. Kepada pendakwah-pendakwah kita sekarang contohilah seperti Baginda ini.

c. Walaupun Baginda dikasari dengan kata-kata ucapan yang kurang sopan, tetapi Baginda
tetap tidak mengeluarkan kata-kata seperti mereka itu.
d. Baginda mengambil satu keputusan yang tepat untuk kembali ke Mekah, jika tidak tentu
keselamatan Baginda terancam.

e. Baginda tetap sabar tidak akan membalas dendam terhadap mereka.

f. Baginda menaruh hajat bahawa satuhafra8u nanti mereka akan menganut Islam.

g. Kepada sekalian umat Islam khususnya para pendfakwah, ambillah iktgibar dengan segala
apa yang ditunjukkan oleh Baginda SAW itu.

Sekian dahulu semoga anda sekalian dapat mengingati kembali sejarah Nabi Muhammad SAW out di bulan yang mulia ini.

Wassalmu alalikum……………………




----------------------------ooooooooooooooooooooo---------------------

No comments:

Post a Comment