Saturday 24 December 2011

Mengawal Marah Erat Silaturahim...!





KAWAL MARAH MENDAPAT ERAT SILATURAHIM DAN MENINGKATKAN IMAN

Kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan kurniaan nikmat Nya kepada kita pada hari ini, terutamanya dengan umur yang diberikan kepada kita, kepada kurniaan kesihatan dan rezeki yang diberikan kepada kita dan begitu juga dengan kedudukan pekerjaan yang kita sandangkan hari ini menyebabkan kita mewah, ceria dan aman makmur.
Dalam menjalankan tugas seharian, kita sentiasa berhubung tiga penjuru dengan kategori kumpulan yang berbeza watak, peribadi dan sifat dan ini memerlukan kemahiran dan kekuatan mengurus perasaan dan juga minda supaya kerja yang dijalankan secara profesional, bermanfaat dan mengundang rahmat dari Allah s.w.t.
Profesional bukan sahaja dilihat pada hasil atau output kerja semata-mata. Sebaliknya, yang seiring menjadi asas penilaian serta kepercayaan terutama bagi pelanggan ialah cara berurusan dan layanan baik kepada mereka. Jabatan Kerajaan dan Syarikat ternama dengan produknya yang berkualiti juga boleh terjejas imejnya di kalangan pelanggan hanya disebabkan oleh panggilan telefon yang tidak dijawab dengan mesra dan percakapan yang sombong oleh petugasnya atau tutur kata dan layanan yang kurang sopan, bertimbang rasa, betul, mesra dan berhemah.
Dalam menjaga hubungan interpersonal dan berurusan dengan pelanggan, Islam telah menengahkan satu kaedah efektif yang mudah dan murah iaitu dengan mengurus kemarahan. Mengurus kemarahan bererti menahan serta mengawalnya di mana-mana dan dengan sesiapa jua adalah kaedah yang sangat efektif untuk menzahirkan profesionalisme apabila berurusan dan bertindak khasnya di tempat kerja.
Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud “Seorang lelaki telah berkata kepada Nabi s.a.w.., berikanlah wasiat kepada ku. Jawab Baginda, “Janganlah engkau marah. Kemudian di ulang beberapa kali. Janganlah engkau marah-marah” (Hadis sahih riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Pesanan Rasulullah s.a.w. ini sungguh ringkas, tetapi yang sangat berguna. Ia bermaksud mengawal dan menahan nafsu kemarahan yang berlebihan dan membawa keburukan. Bukannya bermaksud menghilangkannya kerana itu mustahil bagi tabiat semula jadi makhluk dan juga kerana kemarahan yang betul cara ia diluahkan dan sesuai dengan keadaan dan masanya juga mempunyai manfaat. Iaitu marah yang tidak mengikut rasa hati semata-mata atau kerana membalas dendam atau kerana sesuatu yang remeh dan kecil kesannya, apatah lagi marah tanpa sebab.
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud “ Kemarahan itu daripada syaitan dan syaitan diciptakan dari api. Api dipadamkan oleh air. Oleh itu, jika ada di antara kamu yang merasa marah. Hendaklah ia mengambil wuduk.” (Riwayat Imam Ahmad)
Ketahuilah bahawasanya mengurus kemarahan bukan sahaja dapat mewujudkan perhubungan yang baik sesama manusia bahkan dapat menghindarkan daripada kemurkaan Allah s.w.t. seperti yang dinyatakan oleh sahabat Rasulullah s.a.w. Amru bin al-As serta dijanjikan syurga baginya.
Firman Allah s.w.t. dalam Surah Ali-Imran, ayat 133-134 yang bermaksud:
“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang seluas langit dan bumi, dan disediakan bagi sekalian yang bertakwa iaitu mereka yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan mereka yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah Maha mengasihi mereka yang melakukan kebaikan.”:
Wahai saudara ku sekalian. Mengurus kemarahan perlu dilatih untuk mengawal emosi dan memelihara perhubungan interpersonal. Oleh itu marilah kita mengurus kemarahan dengan cara yang profesional dengan cara semasa berinteraksi dan berkomunikasi sesama pelanggan, rakan, majikan khasnya sesama Islam untuk membentuk persekitaran kerja dan keadaan yang harmoni, menjaga imej organisasi, menguatkan kepercayaan pelanggan, menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah s.w.t. serta yang paling utamanya ialah meningkatkan kesempurnaan iman kita.
Sekian, wassala mualaikum…….


------------------ooooooooooooooo---------------

No comments:

Post a Comment