Kami mengadakan Kursus Fardu Ain yang dipimpin
oleh Hj CheDan pada 2 Ogos 2012
Bab 2 - Akhlak
itu Perhiasan Mukmin
Sesungguhnya umat yang bertaqwa
ialah mereka yang sentiasa mengamalkan akhlak yang baik, mulia dan nilai hidup
yang murni. Akhlak ditakrifkan sebagai kebiasaan, perangai, tabiat dan
tingkah laku dalam agama. Akhlak yang
baik disebut juga sebagai adab atau etika dan sopan santun yang diterjemahkan
dari hati yang bersih dan ikhlas. Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran memuji
akhlak Baginda Rasulullah s.a.w. menerusi ayat 4 Surah Al-Qalam:
وَإِنـَّكَ لـَعَـلىَ خُـلـُـقٍ عَـظِيْـم ٍ(4)
“Dan
sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang besar (mulia).
(Al-Qalam ayat 4).
Profesor Yusuf Al-Qardawi menyebutkan
bahawa sifat yang baik dan etika hidup yang murni (akhlak) itu merangkumi
beberapa aspek iaitu:.
Akhlak itu Perhiasan Mukmin
1.Akhlak terhadap diri sendiri.
Ia merangkumi penjagaan kesihatan diri,
membersih jiwa dari akhlak yang buruk,
melatih jiwa supaya berfikiran baik dan menganalisa, tidak melampaui batas,
isitqamah, bertawakkal dan bertaqwa
kepada Allah, bercakap benar, mampu menahan kemarahan, pemaaf, mematuhi peraturan, penyabar, ikhlas
bersederhanaan, tidak mementingkan diri
sendiri, tidak mementingkan wang ringgit dan kebendaan dan sebagainya lagi.
2. Akhlak terhadap keluarga.
Dalam melaksanakan tuntutan akhlak jenis
ini seseorang suami perlu sentiasa bergaul dengan isteri dengan cara yang baik
dan begitulah halnya pihak isteri, berbuat baik kepada kedua ibu bapa, berlemah
lembut dan penyayang kepada orang yang lebih tua atau muda dari kita, tidak
membunuh anak kerana bimbangkan kemiskinan, berlaku adil kepada semua orang,
anak-anak dan isteri, berbuat baik dan memberi bantuan kepada kaum kerabat yang
dekat atau pun yang jauh.
3.Akhlak terhadap masyarakat.
Antaranya termasuklah adab dan tatacara
bergaul dengan anggota masyarakat dan jiran tetangga seperti memulakan dengan
memberi salam apabila bertemu, meminta izin apabila memasuki sesebuah rumah
dengan cara memberi salam kepada penghuninya terlebih dahulu, jangan
mengurangkan timbangan apabila berurus niaga,
kembalikan amanah kepada empunyanta. Menepati janji, menjadi saksi yang
benar, menjadi pendamai, memaafkan kesalahan orang, mengasihi orang lain,
menyeru kepada kebaikan, mencegah keburukan, membalas kejahatan dengan kebaikan
dan lain-lain lagi.
4. Akhlak terhadap alam.
Seperti
menyedari bahawa alam semesta ini diamanahkan oleh Allah SWT kepada manusia.
Kepelbagaian alam ini memanifestasikan
ayat atau tanda-tanda kekuasaan Allah SWT, dan semasa meneroka dan mengguna
setiap kurniaan yang wujud di dalam alam, manusia harus sederhana dan bermatlamatkan
kepentingan bersama; tidak merusakkan sumber alam, menjaga sumber air dan tidak
menguturkannya, menanam pokok-pokok yang boleh dimanafaatkan buahnya atau
daunnya, tidak membazir sewaktu menggunakan apa sahaja sumber ‘alam.
5. Akhlak terhadap Allah.
Akhlak yang paling tinggi dan membatasi
segala-galanya adalah akhlak manusia terhadap Allah, sumber segala hukum dan
nilai hidup. Tuhan yang berhak mendapat
semua pujian dan segala ketaatan. Dialah
sahaja yang layak dan perlu disembah, dan Dialah sahaja tempat meminta
pertolongan, pengampunan dan hidayat.
Antara kewajipan, manusia terhadap Allah termasuk, beriman kepada Allah
dan kepada apa yang diwahyukan Nya, mematuhi segala perintahnya, menyelidiki
tanda-tanda (ayat) Allah dan kejadian ‘alam, mensyukuri
nikmat Nya, redza dengan segala
ketentuan qada’ dan qadar Nya, bertawakkal kepada Nya, tidak berputus asa
terhadap Nya, bertasbih dan berzikir beribadat, bertaubat dan mencintai Allah.
Dalam Surah Al-Hajj ayat 32 Allah
s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Demikianlah (ajaran Allah), dan sesiapa
yang menghormati syi’ar-syi’ar
agama Allah, maka (dialah orang
yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat
takwa hati orang mukmin…..”
Akhlak yang mulia itu antaranya ialah
lemah lembut, pemaaf, pemurah, rendah diri, bersabar, berani, manis muka dan
mesara, kasih sayang, bertolak ansur, amanah dan lain-lain lagi.
Semua sifat-sifat ini adalah yang
dikatakan sifat-sifat hati yang baik atau sifat-sifat yang terpuji atau dengan
kata lain, ia adalah disebut sebagai Mahmudah.
Sifat-sifat hati yang baik ini akan memberi cahaya kepada kehidupan kita
yang zahir ini. Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w.
yang bermaksud:
”Di dalam diri manusia itu ada
seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota lahir
manusia itu. Jika daging itu rosak maka seluruh anggota lahir itu akan rosaklah dia.
Ituah dia hati manusia....!
(Hadis riwayat
Al-Bukhari dan Muslim)
Kesimpulan.
Oleh itu perbaikilah hati dengan sungguh-sungguh agar terbuka pintu-pintu
syurga. Tanamlah di dalam diri akhlak yag baik dan sematkanlah di hati
sifat-sifat Mahmudah iaitu sifat-sifat yang terpuji, semoga Allah SWT sentiasa
memberi taufik dan hidayatnya kepada diri kita di sepanjang hidup kita ini.
Sekianlah dahulu, Wassala
mualaikum......!
---------------oooooooooooo-----------------
No comments:
Post a Comment