Sunday, 12 August 2012

TAQWA ITU PERINTAH ALLLAH......





              TAQWA ITU PERINTAH  ALLAH..


                               
                           Inilah Baityullah (Rumah Allah).....


Takwa itu menurut perintah Allah

Maka berkata para Ulamak bahawa: Takwa itu adalah menurut perintah Allah Taala dan meninggalkan larangan Nya lahir dan batin, seraya merasakan bahawa kebesaran yang hakiki itu adalah bagi Allah SWT  yang patut kita merasakan kehebatan, ketakutan dan kegerunan terhadap Nya.
Sebahagian para Muafasirin pula mengertikan maksud firman Allah Taala: “Bertakwa  kepada Allah dengan sesungguhnya taqwa, yakni Allah s.w.t. itu harus ditaati. Tiada boleh di maksiati,  harus di ingati, tiada boleh dilupai, dan harus disyukuri, tiada boleh dikufuri, sebab itu jika seseorang hamba ditaqdirkan mempunyai seribu diri yang lain kepada dirinya, atau seribu umur lagi kepada umurnya, tidak mampu bertakwa kepada Allah dengan  sesungguh-sungguh takwa, sekalipun ia sanggup membelanjakan semua harta kekayaan yang ada di dalam tangannya untuk tujuan mentaati Allah dan mencintai Nya, yang demikian itu disebabkan amat besar hak Allah  s.w.t. ke atas hamba Nya, dan juga kerana amat hebat kebesaran Allah dan amat mulia kedudukannya serta tinggi  kemuliaan Nya.
Rasulullah s.a.w. sebagai orang yang amat sempurna penunaian nya terhadap hak-hak Allah SWT  telah berkata dalam doanya: iaitu sebagai suatu pengakuan dari Baginda yang  ketidakupayaannya  hendak menunaikan sepenuh kesyukuran kepada Allah s.w.t.
أ َعـُوْذُ بِرِضَكَ مِنْ سَخَطِكَ, وَبِمُعَا فـَاتِكَ مِنْ عُقُوْبَتِكَ,
وَأ عُوْذُ بِكَ مِنْكَ, لَاأ حْصِيْ ثـَنَاءً عَلـَيْكَ, أ نْتَ كَمَا أ ثـْنَيْتَ عَلىَ نـَفـْسِكَ.
“Aku berlindung dengan keredaan Mu daripada kemurkaan Mu, dan dengan keampunan Mu dari pembalasan Mu, dan aku berlindung dengan Mu daripada Mu, tidak mampu aku menghitung kepujian ke atas Mu, seperti yang  Engkau memuji atas zat Mu sendiri.
Dan seperti mana yang telah difahamkan bahawa Allah  SWT  telah menciptakan Malaikat, yang dari sejak diwujudkan hingga ke bila-bila masa pun, akan sentiasa ruku’ dan bersujud terhadap Allah  SWT dan akan sentiasa bertasbih dan membesar Allah SWT, tidak pernah penat atau lelah, dan mereka tiada mempunyai tugas-tugas yang lain selain itu. 
Kelak bila tiba hari kiamat nanti, maka Malaikat itu akan berkata kepada Allah Taala.
سُبْحَا نـَكَ! وَلـَكَ الـْحَمْدُ مَا عـَرَ فـْنَاكَ  حَـقَّ مَعْرِفـَتِكَ! وَلَاعـَبَد  نـَاكَ حـَقَّ عـِبَادَ تـِكَ!
“Maha suci Engkau, wahai Tuhan! Bagi Mu segala pujian.  Kami tiada mengenal Mu sesungguh pengenalan.  Kami tiada beribadat kepadaMu sesungguh ibadat.”

Setengah ulamak berkata, bahawasanya firman Allah SWT yang bemaksud:” Bertaqwalah kamhu kepada Allah dengan sesungguh takwa: yaitu ayat ini telah nansukh (dibatalkan) dengan ayat yang berbunyi:
فـَاتـُّقـْوا اللهَ مَا اسْتـَطَعْتـُمْ  ( التغابن 16)
“Bertakwa kepada Allah sekadar yang termampu oleh mu.”
Setengah yang lain pula berkata: Ayat yang kedua ini menerangkan maksud ayat yang pertama, dan bukanlah ia sebagai nasakah  (batal), mudah-mudahan maksud yang kedua inilah yang betul, sebab Allah SWT  – dan bagi Nya segala puji – tiada memberatkan sesuatu jiwa melainkan sekadar yang termampu dilakukannya,  meskipun jika Dia mahu, memang Dia berhak memerintahkan apa saja yang dikehendaki Nya, sebab Allah SWT  berhak untuk melakukan apa saja sekehendak kemahuan Nya di dalam kerajaan Nya dan kekuasaan  Nya.  Akan tetapi Dia sentiasa meringankan dan memudahkan. Lihat firman Nya berikut :
يُرِيْد  اللهُ أ نْ يـُخـَفـَّفَ عـَنْكُمْ وَخـُلـِقَ الْإ نـْسَانُ ضَعِيْفـًا.
(النــساء 28).
“Allah ingin memberikan keringanan bagi mu, kerana manusia itu dicipta bersifat lemah   (An-Nisa’ : 28)
Firman Allah s.w.t.:
يُرِيْدُ اللهُ بِكُمُ الـْيسْرَ, وَلَايـُرِيْدَ بِكُمُ الـْعُسْرَ.
(البقرة: 185)
“Allah mahu memberikan keringanan bagi mu, dan tiada (sekali) kali mahu memberikan kesulitan .
                  (Al-Baqarah : 185)
Kesimpulan:
Bertawakkal kepada Allah iaitu melakukan apa yang di perintah Nya dengan melakukan perkara-perkara yang terbaik, melakukan kerja-kerja  yang terpuji,  sentiasa mengingati  Allah dengan mengamalkan segala  suruhan yang sunat-sunat, sentiasa berakhlak yang mulia.  Meninggalkan segala perkara yang di  larang, meninggalkan perbuatan berakhlak yang kotor. Tidak mengingatkan Allah dan sentiasa enggan melakukan arahan yang sunat-sunat.

Sekian dahulu dalam mauduk ini, dan akan kembali  dalam masa yang terdekat.
Wssalamu alaikum.....

                 ---------------oooooooo-----



No comments:

Post a Comment