POS 737 - ADAB DAN AKHLAK RASULULLAH S.A.W
Sebagaimana yang diriwayatkan mengenai perilaku Rasulullah s.a.w., bahawa baginda tidak pernah sama sekali memukul seorang pun dengan tangannya, melainkan dipukulnya kerana fi sabillah Taala. Baginda juga tidak pernah memeram dendam kerana sesuatu yang dilakukan ke atas dirinya sendiri, melainkan bila melihat kehormatan Allah dicabuli.
Jika baginda diminta untuk memilih antara dua perkara, tanpa ragu-ragu lagi baginda akan memilih yang paling ringan dan mudah antara keduanya, kecuali jika pada perkara itu ada dosa, atau pun akan menyebabkan terputusnya perhubungan solaturrahim, maka baginda akan menjadi orang yang paling jauh sekali daripadanya.
Tiada pernah seseorang yang datang kepada Nabi s.a.w., baik ia merdeka atau hamba sahaya atau pun amah (hamba sahaya perempuan) mengadukan keperluannya, melainkan baginda akan memenuhi hajat masing-masing. Berkata Anas r.a. “Demi zat yang mengutusnya dengan kebenaran, Dia (Nabi) tiada pernah berkata pada ku dalam perkara yang tiada diingininya, seperti “Mengapa engkau lakukan itu.” Dan apabila isteri-isterinya memarahi ku atas sesuatu yang aku lakukan tidak baik, maka Dia berkata kepada mereka “Biarkanlah si Anas itu, jangan dimarahi Dia, sebenarnya tiap-tiap sesuatu itu berlaku menurut ketentuan dan qadar.”
Termasuk akhlaknya yang mulia, ialah memulakan memberi salam kepada sesiapa sahaja yang di temuinya. Jika ada orang yang mendesaknya kerana sesuatu keperluan, Dia menyabarkannya sehingga orang itu memalingkan muka daripada Baginda. Bila berjumpa dengan salah seorang sahabatnya, segera Dia dahulu akan menghulurkan tangan untuk berjabat tangan.
Baginda tidak pernah bangun atau duduk, melainkan lidahnya sentiasa menyebut nama Allah. Sering kali bila sedang sembahyang, lalu ada tetamu yang datang kerana sesuatu keperluan, maka segeralah Dia meringkaskan sembahyangnya untuk menyambut tetamu itu seraya bertanya kepada tetamu itu “Apakah hajat anda untuk saya lalukan.? Bila baginda berada di dalam sesuatu majlis antara para sahabatnya, tidak pernah dikhususkan satu tempat baginya, melainkan di mana sahaja baginda sampai, di situlah Dia duduk.
Baginda selalu menghormati sesiapa sahaja yang mendatanginya, sehingga terkadang-kadang Baginda sampai menghamparkan jubahnya supaya orang itu duduk di atasnya. Sering kali pula Baginda memberikan bantal sandarnya kepada orang yang datang itu, supaya orang itu selesa bersandar padanya. Bila di dalam suatu majlis yang ramai, Baginda menghadapkan wajahnya kepada semua hadirin, satu lepas satu, sehingga seolah-olah kesemua mereka yang berada di dalam majlis itu mendengar percakapannya, untuk menjadi tanda kehalusan budi pekertinya dan perhatiannya di tumpukan kepada setiap orang yang duduk bersamanya di dalam majlis itu. Pada hal majlis Rasulullah s.a.w. itu umumnya ialah majlis yang diliputi oleh kesopanan, kerendahan diri dan amanah.
Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran Surah Ali-Imran, ayat 159 yang bermaksud: “Oleh sebab rahmat Tuhan, Engkau bersikap lemah lembut terhadap mereka, dan kiranya Engkau berbudi kasar dan berhati bengis, nescaya mereka akan lari dari sekeliling mu.” (Ali Imran ayat 159) Baginda lebih suka memanggil pada sahabatnya dengan nama gelaran masing-masing untuk menghormati mereka dan memikat hati mereka. Sesiapa yang tidak punya nama gelaran, Baginda memberinya nama gelaran, lalu ia pun dipanggil dengan gelaran itu. Bukan kaum lelaki sahaja yang diberi nama gelaran malah kaum wanita juga, sama ada yang pernah melahirkan anak mahupun yang tidak. Bahkan kepada anak-anak kecil pun demikian juga, sehingga hati anak-anak itu tertarik kepada peribadi Rasulullah s.a.w. itu.
Baginda Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat jarang marahnya, terapi jika marah paling segera reda pula. Baginda adalah orang yang berhati belas kasihan terhadap orang ramai, paling baik antara mereka sekalian, dan paling banyak memberikan manfaat kepada seluruh manusia tidak pernah sekali pun terdengar suara yang meninggi diri di dalam semua majlisnya. Apabila bangun dai majlisnya, Baginda sering kali membaca: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلـَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلـَيْكَ. Maksudnya:”Maha suci Engkau wahai Tuhan ku, dengan segala kepujian bagi Mu, aku menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan kepada Mu dan aku bertaubat kepada Mu.”
Kesimpulan. Kita hendaklah mengambil iktibar bahawa mengenai akhlak Rasulullah s.a.w. itu bahawa Baginda tidak pernah berdendam sesama manusia dan sentiasa bersabar. Baginda tidak pernah memarahi sesiapa pun. Baginda apabila berjumpa para sahabat dan sesiapa pun Baginda dahulu bersua tangan memulakan memberi salam. Apabila berada di dalam sesuatu majlis Baginda tidak memerlukan satu tempat yang khas bagi Baginda.
Baginda suka mengambil nama para sahabat, dengan gelaran yang diberikan dengan tujuan lebih mendapat kesukaan mereka. Baginda amat menaruh sifat belas kasihan dan selalu memberikan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada manusia.
Justeru itu marilah kita bersama mengikuti segala adab dan akhlak Rasulullah s.a.w. semoga kita akan beroleh kedamaian dan kemakmuran di dunia dan di akhirat. Amin…..!
---------------------oooooooooooo-----------------
No comments:
Post a Comment