Saturday, 9 February 2013

Post 741 - Akhlak itu Perhiasan Mukmin







Post 741 -   Akhlak itu Perhiasan Mukmin



Sesungguhnya umat yang bertaqwa ialah mereka yang sentiasa mengamalkan akhlak yang baik, mulia dan nilai hidup yang murni. Akhlak ditakrifkan sebagai kebiasaan, perangai, tabiat dan tingkah  laku dalam agama. Akhlak yang baik disebut juga sebagai adab atau etika dan sopan santun yang diterjemahkan dari hati yang bersih dan ikhlas. Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran memuji akhlak Baginda Rasulullah s.a.w. menerusi ayat 4 Surah Al-Qalam:

وَإِنـَّكَ لـَعَـلىَ خُـلـُـقٍ  عَـظِيْـم ٍ
“Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang besar (mulia).
 (Al-Qalam ayat 4).

Profesor Yusuf Al-Qardawi menyebutkan bahawa sifat yang baik dan etika hidup yang murni (akhlak) itu merangkumi beberapa aspek  iaitu:.

Akhlak  itu Perhiasan Mukmin
1.Akhlak terhadap diri sendiri.
 Ia merangkumi penjagaan kesihatan diri, membersih  jiwa dari akhlak yang buruk, melatih jiwa supaya berfikiran baik dan menganalisa, tidak melampaui batas, isitqamah,  bertawakkal dan bertaqwa kepada Allah, bercakap benar, mampu menahan kemarahan,  pemaaf, mematuhi peraturan, penyabar, ikhlas bersederhanaan,  tidak mementingkan diri sendiri, tidak mementingkan wang ringgit dan kebendaan dan sebagainya lagi.

2. Akhlak terhadap keluarga.
Dalam melaksanakan tuntutan akhlak jenis ini seseorang suami perlu sentiasa bergaul dengan isteri dengan cara yang baik dan begitulah halnya pihak isteri, berbuat baik kepada kedua ibu bapa, berlemah lembut dan penyayang kepada orang yang lebih tua atau muda dari kita, tidak membunuh anak kerana bimbangkan kemiskinan, berlaku adil kepada semua orang, anak-anak dan isteri, berbuat baik dan memberi bantuan kepada kaum kerabat yang dekat atau pun yang jauh.

3.Akhlak terhadap masyarakat.
Antaranya termasuklah adab dan tatacara bergaul dengan anggota masyarakat dan jiran tetangga seperti memulakan dengan memberi salam apabila bertemu, meminta izin apabila memasuki sesebuah rumah dengan cara memberi salam kepada penghuninya terlebih dahulu, jangan mengurangkan timbangan apabila berurus niaga,  kembalikan amanah kepada empunyanta. Menepati janji, menjadi saksi yang benar, menjadi pendamai, memaafkan kesalahan orang, mengasihi orang lain, menyeru kepada kebaikan, mencegah keburukan, membalas kejahatan dengan kebaikan dan lain-lain lagi.

4. Akhlak terhadap alam.
 Seperti menyedari bahawa alam semesta ini diamanahkan oleh Allah SWT kepada manusia. Kepelbagaian alam  ini memanifestasikan ayat atau tanda-tanda kekuasaan Allah SWT, dan semasa meneroka dan mengguna setiap kurniaan yang wujud di dalam alam, manusia harus sederhana dan bermatlamatkan kepentingan bersama; tidak merusakkan sumber alam, menjaga sumber air dan tidak menguturkannya, menanam pokok-pokok yang boleh dimanafaatkan buahnya atau daunnya, tidak membazir sewaktu menggunakan apa sahaja sumber ‘alam.

5. Akhlak terhadap Allah.  
 Akhlak yang paling tinggi dan membatasi segala-galanya adalah akhlak manusia terhadap Allah, sumber segala hukum dan nilai hidup.  Tuhan yang berhak mendapat semua pujian dan segala ketaatan.  Dialah sahaja yang layak dan perlu disembah, dan Dialah sahaja tempat meminta pertolongan, pengampunan dan hidayat.  Antara kewajipan, manusia terhadap Allah termasuk, beriman kepada Allah dan kepada apa yang diwahyukan Nya, mematuhi segala perintahnya, menyelidiki tanda-tanda (ayat) Allah dan kejadian ‘alam, mensyukuri
nikmat Nya, redza dengan segala ketentuan qada’ dan qadar Nya, bertawakkal kepada Nya, tidak berputus asa terhadap Nya, bertasbih dan berzikir beribadat, bertaubat dan mencintai Allah.

Dalam Surah Al-Hajj ayat 32 Allah s.w.t  berfirman yang bermaksud:

“Demikianlah (ajaran Allah), dan sesiapa yang menghormati syi’ar-syi’ar  agama  Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin…..”

Akhlak yang mulia itu antaranya ialah lemah lembut, pemaaf, pemurah, rendah diri, bersabar, berani, manis muka dan mesara, kasih sayang, bertolak ansur, amanah dan lain-lain  lagi.

Semua sifat-sifat ini adalah yang dikatakan sifat-sifat hati yang baik atau sifat-sifat yang terpuji atau dengan kata lain, ia adalah disebut sebagai Mahmudah.  Sifat-sifat hati yang baik ini akan memberi cahaya kepada kehidupan kita yang zahir ini.  Ini sesuai  dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang  bermaksud:

”Di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota lahir manusia  itu.  Jika daging itu rosak maka  seluruh anggota lahir itu akan rosaklah dia. Ituah dia hati manusia....!
                       (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)    


Kesimpulan.

Oleh itu perbaikilah hati dengan  sungguh-sungguh agar terbuka pintu-pintu syurga.  Tanamlah di dalam diri  akhlak yag baik dan sematkanlah di hati sifat-sifat Mahmudah iaitu sifat-sifat yang terpuji, semoga Allah SWT sentiasa memberi taufik dan hidayatnya kepada diri kita di sepanjang hidup kita ini.

Sekianlah dahulu, Wassala mualaikum......!


       ---------------oooooooooooo-----------------


No comments:

Post a Comment