Pos 792 - Kisah Nabi Yusuf a.s.
Daripada
Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah,
cari
POS 792 – KISAH NABI YUSUF A.S.
Nabi
Yusuf a.s. - (نبي يوسف عليه
السلام) -
merupakan salah seorang daripada golongan nabi dan rasul yang
wajib diketahui. Kisah baginda dikisahkan dalam al-Qur'an
iaitu dalam Surah Yusuf. Kisah baginda turut dikisahkan dengan nama
Joseph, dalam Perjanjian Lama, (Yosef, Hebrew: יוֹסֵף).
Isi kandungan |
Keluarga
Baginda
merupakan putera ketujuh (ada sumber mengatakan anak kesebelas) Nabi Ya'akub a.s. dan baginda berkongsi ibu yang
dikenali sebagai Rahil dengan adiknya, Bunyamin. Baginda mempunyai 12 orang
adik beradik lelaki dan baginda mempunyai rupa paras yang tampan dan dimanjai
oleh bapanya. Walau bagaimanapun, ibu kandungnya wafat ketika baginda berusia
12 tahun.
Kasih
sayang yang diperolehi dan kelebihan pada baginda dan Bunyamin mendorong 10
adik-beradik lelaki dari ibu yang lain berasa iri-hati dan dengki yang
mewujudkan komplot menarik perhatian bapa mereka. Mereka bercadang untuk
membunuh baginda.
Yahudza,
anak lelaki keempat dari Nabi Ya’akub dan yang paling cekap dan bijaksana di
antara mereka tidak bersetuju dengan cadangan pembunuhan memandangkan perlakuan
tersebut adalah dilarang. Maka, demi menghalau Yusuf, dia mencadangkan untuk
mencampakkan baginda ke dalam sebuah "perigi buta" yang
terletak di persimpangan jalan kafilah-kafilah dagang dan para musafir
beristirehat. Dengan itu, berkemungkinan Yusuf akan diselamatkan dari perigi
tersebut dan di bawa oleh sesiapa sahaja untuk dijadikan hamba.
Mimpi agung
Pada
malam saudara baginda mengadakan komplot tentang baginda, Yusuf sedang tidur
dan bermimpikan suatu yang aneh lalu menceritakan kepada ayahnya:
(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata
kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat
mereka tunduk memberi hormat kepadaku". Bapanya berkata: "Wahai
anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku
khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu.
Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia." Dan
demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu dan akan mengajarmu tafsir mimpi serta
akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Ya’akub sebagaimana
Dia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim
dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi
Maha Bijaksana. (12:4-6)
Mimpi
tersebut menunjukkan kelebihan yang diberikan Tuhan kepada baginda Nabi Yusuf.
Amatlah berbahaya untuk membongkarkan mimpi tersebut kepada adik-beradiknya
yang lain memandangkan dia dan adiknya, Bunyamin sudahpun dicemburui.
Yusuf dimasukkan ke dalam perigi
Pada
hari sebelum mereka menjalankan rancangan, adik beradik Yusuf menghadap Nabi
Yaakub a.s. untuk meminta izin membawa Yusuf bermain bersama mereka tetapi
bapanya bimbang akan keselamatan Yusuf yang berkemungkinan baginda akan dimakan
serigala jika mereka tidak menjaganya.
Mereka
berjaya menjalankan rancangan mereka dengan mencampakkan Yusuf ke dalam sebuah
perigi buta dan pulang ke rumah pada senjanya dengan berpura-pura menangis dan
mengatakan kepada Nabi Yaakub bahawa Yusuf dimamah serigala sambil menunjukkan
baju Yusuf yang dilumuri darah kambing biri-biri (kibash) .
Nabi
Yaakub tetap tidak percaya dan mengatakan anak-anaknya berdusta kerana cerita
mereka itu tidak masuk akal. Meskipun demikian Nabi Yaakub hanya bersabar
sahaja sambil memohon pertolongan dari Allah semata-mata.
Kehidupan di Mesir
Sementara
itu, baginda Nabi Yusuf telah ditemui oleh rombongan pedagang yang berhenti
untuk mengambil air di perigi. Rombongan pedagang itu terkejut apabila melihat
bahawa perigi yang disangka mempunyai takungan air itu hanya terdapat seorang
kanak-kanak kecil sahaja, lalu rombongan pedagang tersebut mengeluarkan Yusuf
dari telaga/perigi dan membawa baginda ke Mesir. Di sana,
baginda dijual dengan harga beberapa dirham sahaja. Baginda dibeli oleh seorang
bangsawan berbangsa Qibti atau Mesir yang bernama Futhifar (dalam al-Qur'an
digelar al-Aziz - diceritakan bahawa beliau adalah Ketua Polis Mesir).
Baginda berkhidmat sebagai hamba di Mesir sehingga dewasa.
Isteri Futhifar (Zulaikha)
Yusuf
hidup tenang dan tenteram di rumah Futhifar, Ketua Polis Mesir, sejak ia menginjakkan
kakinya di rumah itu dan kepercayaan penuh dari kedua majikannya. Nabi Yusuf
yang telah dewasa mempunyai rupa yang menawan dan menarik minat ramai perempuan
Mesir dan salah satu daripadanya ialah isteri kepada tuannya.
Setelah
lama menahan kehendak, isteri Futhifar memancing Yusuf agar baginda terlebih
dahulu mendekatinya dan bukannya dia dulu yang mendekati Yusuf demi menjaga
kehormatan dirinya sebagai isteri Ketua Polis. Dia selalu berdandan dan berhias
malah menggoda Yusuf apabila baginda berada di rumah. Sikap dingin dan acuh tak
acuh baginda terhadap rayuan dan ajakan Zulaikha membuat Zulaikha terdesak
dengan nafsunya dan memerangkap baginda untuk ke bilik tidurnya dan menawarkan
dirinya. Penolakan baginda membuatkan wajah Zulaikha kemerahan, tanda marah
yang meluap-luap kerana merasakan dirinya dihina dan diremehkan oleh Yusuf dan
menganggapnya suatu perbuatan kurang ajar dari seorang hamba terhadap seorang
tuan .
Akhirnya,
Yusuf terperangkap apabila Futhifar pulang ketika Zulaikha menarik koyak
belakang baju baginda ketika mengejar baginda yang hendak ke pintu. Tanpa
sempat Yusuf membuka mulut, Zulaikha memfitnah baginda di hadapan suaminya.
Walau bagaimanapun, baginda terselamat dengan bukti yang berada di hadapan
mereka iaitu baju baginda koyak di belakang dan bukan di hadapan. Akhirnya,
Futhifar menyebelahi Yusuf dan berita itu sampai ke masyarakat umum.
Cacian
dan cemuhan yang diterima Zulaikha membuatkan Zulaikha mempunyai niat untuk
mengenakan Yusuf kembali. Lalu diadakan satu jamuan (di kalangan wanita) dan
para jemputan diberikan pisau untuk memotong makanan mereka. Kemudian, Yusuf
disuruh untuk keluar di hadapan para jemputan lalu rupa parasnya membuatkan
mereka ternganga hingga mereka tidak sengaja telah melukai jari-jari tangan sendiri
dan mengatakan yang Yusuf bukanlah manusia biasa tetapi malaikat.
Dengan
mengambil kesempatan tentang apa yang terjadi, Zulaikha menerangkan betapa
Yusuf tidak mendengar arahan tuannya dan betapa Zulaikha tidak bersalah dalam
hal ini dengan mengatakan pasti dia takkan jatuh hati kepadanya kalau bukan
kerana paras rupanya. Maka, ramai undangan bersetuju dan menggesa Yusuf untuk
menurut sahaja. Yusuf yang tidak rela dengan gesaan itu berdoa agar dia lebih
rela dimasukkan ke dalam penjara.
Futhifar, Ketua Polis Negara, suami Zulaikha
memang pasti Yusuf bersih dari tuduhan yang dilemparkan dan sedar isterinya
yang mencemarkan nama baik keluarganya. Kerana itu dia sanggup mengikut kata
isterinya untuk memenjarakan Yusuf agar orang berpendapat yang Yusuf bersalah
untuk mengembalikan nama baiknya.
Penjara dan tafsiran mimpi
Yusuf
dimasukkan ke dalam penjara bukan disebabkan telah melakukan kesalahan, tetapi
kerana tuannya ingin meletakkan kesalahan pada diri baginda. Walau
bagaimanapun, bagi baginda, penjara adalah tempat yang aman untuk menghindari
segala godaan dan tipu daya yang akan menjerumuskannya ke dalam kemaksiatan dan
perbuatan mungkar dan keadaan yang sempit dan tidak selesa membolehkan baginda
beribadat.
Yusuf
dipenjarakan bersama dua orang pegawai istana Firaun yang dituduh
hendak meracuni Firaun atas perintah dan dengan kerjasama pihak musuh istana.
Salah seorang daripada mereka ialah penjaga gudang makanan dan seorang lagi
ialah pelayan meja istana. Pada suatu hari, kedua tahanan itu menceritakan
kepada baginda bahwa mereka telah mendapat mimpi.
Si
pelayan bermimpi dia akan memerah anggur dan si penjaga gudang melihat dirinya menjunjung roti sambil dipatuk dan
disambar burung. Mereka berharap agar Yusuf mentafsirkan mimpi tersebut
memandangkan mereka melihat baginda sebagai orang yang boleh berbuat demikian.
Yusuf
memberi tafsiran bahawa si pelayan yang memerah anggur akan dibebaskan manakala
yang disambar burung akan dihukum mati. Maka, benarlah apa yang dikatakan
baginda dan si pelayan itu dibebaskan.
Baginda
memesan agar si pelayan itu menyebut namanya di hadapan siapa dia bekerja iaitu
Firaun dan memberitahu yang dia dipenjarakan bukan atas kesalahannya. Walau
bagaimanapun, si pelayan itu telah terlupa dan menyebabkan baginda terperangkap
di dalam penjara untuk beberapa tahun lagi.
Ganjaran Firaun
Pada
suatu hari, firaun Mesir mengumpulkan para pembesar, penasihat dan cendekiawan
untuk mentafsir mimpi yang telah merunsingkan dan menakutkannya. Firaun itu
bermimpi melihat tujuh ekor lembu gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang
kurus-kurus. Dia juga melihat dalam mimpinya tujuh tangkai gandum hijau di
samping tujuh tangkai yang lain kering sekali.
Tiada
siapapun yang dapat memberikan tafsiran bagi mimpi Firaun bahkan sebahagian
mereka menganggapnya hanyalah mimpi kosong yang tidak bererti dan menganjurkan
Firaun agar melupakan saja mimpinya itu.
Pelayan
Firaun, pemuda yang pernah berjumpa Yusuf di dalam penjara teringat pesan Nabi
Yusuf kepadanya sewaktu dia dikeluarkan dari penjara. Lalu dia memberanikan
diri untuk menghampiri Firaun mengesyorkan agar Firaun merujuk kepada Yusuf.
Dengan
izin Firaun, pelayan tersebut mengunjungi Nabi Yusuf di dalam penjara dan
menceritakan apa yang berlaku kisah mimpi Firaun dan jawapan penasihat Firaun.
Dia mengatakan kepada Nabi Yusuf jika Firaun dapat dipuaskan dengan tafsir
mimpinya, berkemungkinan baginda akan dikeluarkan dari penjara setelah bertahun
lamanya.
Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu
menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu
tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang
kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun
kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya;
kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).
"Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai
beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun
dan sebagainya)". (12:47-49)
Nabi
Yusuf yang sudah cukup derita hidup sebagai banduan yang tidak berdosa enggan
keluar dari penjara sebelum peristiwanya dengan isteri Ketua Polis Negara
diselesaikan terlebih dahulu dan fitnah yang dituduh ke atasnya. Baginda ingin
keluar dari penjara sebagai orang yang suci bersih.
Firaun
Mesir yang sudah banyak mendengar tentang Nabi Yusuf dan terkesan oleh tafsir
mimpi baginda, membantu baginda lalu Firaun Mesir mengeluarkan titah untuk
mengumpulkan para wanita yang telah menghadiri jamuan makan Zulaikha dan
terhiris jari ketika itu. Mereka menceritakan tentang apa yang mereka lihat dan
alami dalam jamuan itu dan mengatakan Nabi Yusuf adalah ia seorang yang jujur,
dan bersih. Zulaikha pula mengaku dialah yang bersalah.
Hasil
pertemuan itu diumumkan ke seluruh lapisan masyarakat dan atas perintah Firaun,
Nabi Yusuf dikeluarkan dari penjara secara hormat dan bersih dari segala
tuduhan.
Sebagai wazir Mesir
Kecerdasan,
pengetahuan, kesabaran , kejujuran, keramahan dan akhlak serta budi pekerti
baginda membuatkan Firaun terfikir untuk menyerahkan tugas untuk membantunya
memimpin negara dan rakyat. Maka, Yusuf ditawarkan untuk tinggal di istana dan
mewakili Firaun menyelenggarakan pemerintahan serta pengurusan negara serta
memimpin rakyat Mesir yang diramalkan akan menghadapi masa-masa sukar dan
sulit.
Nabi
Yusuf tidak menolak tawaran Firaun Mesir itu. Baginda meminta agar diberi kuasa untuk pada
bahagian perbendaharaan (kewangan dan pengedaran makanan). Pada hari penobatan
yang dihadiri oleh para pembesar dan bangsawan, Nabi Yusuf dinaikkan sebagai
wazir dengan mengenakan pakaian kerajaan dan hiasan yang mewah.
Kemudian,
Firaun Mesir berkenan untuk mengahwinkan Yusuf dengan Zulaikha, janda
majikannya yang telah mati ketika Nabi Yusuf masih dalam penjara. Yusuf
menerima dan mendapat dua orang putera (menurut pendapat ulama, putera baginda
dinamakan Ifratsim dan Minsya).
Dalam
masa tujuh tahun pertama Nabi Yusuf menjalankan pemerintahan di Mesir, rakyat
merasakan hidup tenteram, aman dan sejahtera. Barang-barang keperluan untuk
semua tanpa terkecuali. Baginda juga tidak lupa peringatan yang terkandung
dalam mimpi Firaun Mesir, lalu mempersiapkan gudang bagi penyimpanan makanan
untuk musim kemarau yang bakal tiba. Maka, tempoh kemarau telah dilalui tanpa
sebarang kesukaran.
Pertemuan kembali
Musim
kemarau membuatkan ramai orang luar Mesir seperti dari Palestin datang
untuk meminta bantuan. Antara mereka ialah adik-beradik Nabi Yusuf sendiri.
Walau bagaimanapun, mereka tidak tahu bahawa Yusuf masih hidup malah menjadi
orang besar memimpin negara Mesir sebagai wakil Firaun.
Abang-abang
Nabi Yusuf yang tinggal di Palestin pergi ke Mesir bagi menukar barangan dengan
makanan. Mereka masuk ke bandar Mesir dan pergi menemui Nabi Yusuf yang menjaga
gudang simpanan makanan. Dalam pertemuan itu Nabi Yusuf serta-merta telah
mengenali abang-abangnya tetapi mereka tidak mengenalinya.
Yusuf
ingin menguji abang-abangnya dengan meragukan identiti dan mengesyaki mereka
sebagai musuh dan meminta bukti. Oleh kerana mereka adalah orang-orang musafir
gharib, maka sukar sekali bagi mereka untuk memberi bukti atau membawa saksi.
Nabi Yusuf memberi peluang kepada mereka dengan membenarkan mereka membeli
gandum dari gudang dengan syarat mereka harus membawa Bunyamin atau mereka
tidak akan mempunyai peluang lagi. Mereka kini sukar untuk membawa Bunyamin
memandangkan bapa mereka Ya’akub menyayanginya dan lebih berat untuk
meninggalkannya selepas khabar akan “kematian” Yusuf.
Yusuf
bukanlah ingin menganiaya atau membalas dendam tetapi hanya sekadar ingin
mengetahui keadaan ayah dan adik bongsunya, Bunyamin yang sudah bertahun-tahun
ditinggalkan dan hanya sekadar taktik untuk mempertemukan kembali dengan ayah
dan saudara-saudaranya yang sudah lama terpisah. Kemudian baginda memerintahkan
pegawai-pegawainya mengisi karung-karung dengan makanan yang perlu tanpa
mengambil sedikitpun barangan mereka untuk ditukar.
Tanpa
mengetahu hal itu, mereka kembali di Palestin dan memberitahu Ya'akub tentang perjalanan
mereka dan bagaimana Yusuf menerima mereka. Tetapi ayah mereka tidak
mengizinkan mereka membawa Bunyamin kerana tidak mempercayai mereka lagi
setelah apa yang berlaku ke atas Yusuf. Setelah mengetahui bahawa barang untuk
ditukar dengan makanan dipulangkan kembali, mereka lebih mudah meyakinkan ayah
mereka, Bunyamin dibenarkan mengikuti mereka ke Mesir.
Setibanya
di istana, mereka disambut oleh Yusuf yang masih mereka belum menyedari hakikat
bahawa itu adalah adik mereka. Mereka disediakan jamuan dan tempat penginapan
untuk setiap dua orang sebuah rumah tetapi, Bunyamin diajak bersamanya menginap
di istana. Di istana, Yusuf memberitahu segalanya kepada adiknya dan adiknya
memberitahu tentang ayahnya pula.
Bunyamin ditahan
Kemudian,
Allah telah
memberi ilham kepada Nabi Yusuf supaya Nabi Yusuf menyediakan barang-barang
makanan untuk dibawa pulang oleh abang-abangnya, baginda Nabi Yusuf telah
meletakkan piala minuman Raja Mesir di dalam karung barang-barangan yang
diletakkan di atas unta Bunyamin.
Kemudian
Nabi Yusuf menyuruh pembantunya berpura-pura menjerit mengatakan Raja Mesir
(Firaun) telah kehilangan piala minuman baginda dan menuduh abang-abang Nabi
Yusuf yang mencuri piala raja itu.
Selepas
meminta diri, mereka pulang tetapi dikejar oleh pengawal istana berkuda untuk
memeriksa barangan mereka. Para pengawal mengatakan piala minuman firaun telah
hilang dan mungkin salah seorang daripada mereka telah mencurinya. Mereka
mengatakan mereka ke sana bukan untuk mencuri tetapi penggeledahan tetap
dilakukan lalu mereka menemui piala minuman itu.
Oleh
kerana piala minuman itu ditemui dalam karung kepunyaan Bunyamin, maka Bunyamin
ditahan dan tidak dibenarkan menyertai rombongan untuk pulang. Kerisauan muncul
dalam fikiran yang lain kerana khuatir akan ayah mereka yang telahpun sengsara
dengan kehilangan Yusuf.
Lalu
mereka menghadap Yusuf dan merayu agar Bunyamin digantikan dengan sesiapa
daripada mereka. Oleh kerana rayuan mereka tidak diterima, Yahudza sanggup
menemani Bunyamin. Yang lain pula pulang ke Palestin untuk
memberitahu ayah mereka.
Pertemuan kembali keluarga Ya'akub
Apabila
berita itu disampaikan kepada ayah mereka, Nabi Yaakub tersangat berdukacita
dan sentiasa menitiskan air mata sehingga dia menjadi buta. Selepas beberapa
waktu, Nabi Yaakub menyuruh abang-abang Nabi Yusuf pergi semula ke Mesir
membeli barang makan dan mencari berita tentang Nabi Yusuf dan Nabi Bunyamin.
Maka
mereka pun sekali lagi pergi ke Mesir. Setibanya di sana mereka terus pergi
menemui Nabi Yusuf dengan membawa barang-barang tukaran yang kurang elok
mutunya bagi membeli bahan makanan, kerana itu mereka merayu supaya mereka
dikasihani.
Pada
saat itulah Nabi Yusuf memperkenalkan siapa dirinya yang sebenar dan
memperingatkan abang-abangnya akan apa yang telah mereka lakukan kepadanya
suatu masa dahulu.
Kemudian
apabila abang-abangnya sudah bersedia pulang ke Palestin, Nabi
Yusuf mengirimkan bajunya dengan pesanan supaya baju itu disapukan ke muka Nabi
Yaakub. Nabi Yusuf juga menyuruh abang-abangnya datang semula ke Mesir dengan
membawa ibu bapanya bersama (untuk berpindah dan bermastautin di Mesir).
Semasa
abang-abang Nabi Yusuf masih dalam perjalanan pulang, Nabi Yaakub memberitahu
saudara-maranya dia tercium-cium bau badan Nabi Yusuf, tetapi mereka tidak
percaya sebab pada sangkaan mereka Nabi Yaakub sudah sangat tua dan
kata-katanya itu adalah kata-kata orang tua yang nyanyuk.
Sebaik-baik
abang-abang Nabi Yusuf tiba di Palestin dari Mesir, mereka menyapukan baju Nabi
Yusuf ke muka Nabi Yaakub lalu ayah mereka dapat melihat kembali. Abang-abang
Nabi Yusuf mengaku telah berdosa dan meminta supaya ayah mereka meminta ampun
bagi pihak mereka lalu Nabi Yaakub memohon Allah mengampun anak-anaknya yang
sudah insaf.
Abang-abang
Nabi Yusuf kemudian membawa ibu bapa mereka ke Mesir bagi berjumpa semula
dengan Nabi Yusuf. Apabila mereka berjumpa, Nabi Yusuf memeluk kedua ibu
bapanya lalu menjemput mereka duduk di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu
mereka semuanya termasuk abang-abangnya tunduk memberi hormat kepada Nabi
Yusuf.
Kata
Nabi Yusuf, itulah makna taabir mimpinya dahulu, iaitu bapanya, ibunya dan
sebelas adik-beradiknya menghormati dirinya sebagai manusia yang mulia di sisi
Allah.
Menurut
cerita riwayat tradisi, baginda Nabi Yusuf wafat ketika berumur 110 tahun di
Mesir dan kerandanya di bawa oleh Nabi
Musa a.s. ketika baginda berhijrah keluar dari Mesir agar dapat dikebumikan
di Palestin.
Maqam Nabi Yusuf
Sejarahnya,
Muslims juga beranggapan bahawa Maqam Yusuf yang dicatat dalam kisah
biblikal sebagai maqam atau tempat jasad Nabi Yusuf disemadikan. Namun
tahun-tahun kebelakangan ini, mereka menuntut bahawa Sheikh ul Islam Sheikh Yussuf Dawiqat, telah
dikebumikan disana pada 2 abad yang lalu.[1]
Berdasarkan tradisi Islam, Yusuf biblikal telah dikebumikan di Hebron,
bersebelahan dengan Gua Para Patriak dimana struktur binaan
pertengahan yang dibina di maqam itu dikenali sebagai Yussuf-Kalah,
"Istana Nabi Yusuf", berada.[2]
Rujukan
2. ↑ "Patriarchal Burial Site Explored for First Time in 700
Years". Biblical Archaeology Review
(May/June 1985).
|
No comments:
Post a Comment