Pos No. 794 - Nabi Zulkifli a.s.
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah,
cari
Pos No. 794 - Nabi Zulkifli a.s.
Nabi
Zulkifli, anak Nabi
Ayub a.s. Nama sebenarnya Basyar bin Ayub AS bin Amose bin Tarekh bin Rum
bin Ish bin Ish bin Ishaq AS bin Ibrahim AS, tetapi diberi gelaran Zulkifli
kerana beliau seorang saja yang tampil untuk menyatakan kesanggupan
melaksanakan amanah raja di negerinya itu.
Sebagai raja dan nabi
Zulkifli
bermaksud sanggup menjalankan amanah raja. Menurut cerita, raja di negeri itu
sudah lanjut usia dan ingin mengundurkan diri daripada menjadi pemerintah,
tetapi beliau tidak mempunyai anak.
Justeru,
raja itu berkata di khalayak ramai:"Wahai rakyatku! Siapakah antara
kamu yang sanggup berpuasa pada waktu siang dan beribadah pada waktu malam.
Selain itu, sentiasa bersabar ketika menghadapi urusan, maka akan aku serahkan
kerajaan ini kepadanya."
Tiada
seorang pun menyahut tawaran raja itu. Sekali lagi raja berkata:"Siapakah
antara kamu yang sanggup berpuasa pada waktu siang dan beribadah pada malamnya
serta sanggup bersabar?"
Sejurus
itu, Basyar dengan suara yang lantang menyatakan kesanggupannya. Dengan
keberanian dan kesanggupan Basyar melaksanakan amanah itu beliau diberi gelaran Zulkifli.
Baginda
juga adalah nabi yang cukup sabar seperti firman Allah, bermaksud: "Ismail,
Idris
dan Zulkifli adalah orang yang sabar dan Kami beri rahmat kepada semua kerana
mereka orang yang suka bersabar."
Kemudian
Zulkifli menggantikan raja yang sudah tua itu. Pada waktu siang beliau
berpuasa, tetapi tidak pernah melupakan urusan pemerintahan, malah melayani rakyatnya
dengan baik. Pada waktu malam, beliau memanfaatkannya dengan beribadah kepada
Allah.
Satu
hari, syaitan yang menyerupai manusia datang kepadanya ketika beliau tidur.
Kedatangan tetamu (syaitan) itu kononnya untuk menyelesaikan urusan dengan raja
(Zulkifli), tetapi tujuan sebenar mahu menggoda.
Kedatangannya
disambut wakil Zulkifli kerana waktu itu beliau mahu tidur. Tetapi tetamu itu
tidak mahu disambut wakilnya, lalu didesak supaya terus dapat berjumpa dengan
beliau. Disebabkan tetamu itu tidak mahu beredar, malah meminta urusannya
diselesaikan segera, Zulkifli keluar menemuinya. Selesai urusan itu, tetamu
berkenaan terus beredar. Zulkifli baru menyedari tetamu itu adalah syaitan yang
mahu menggodanya. Walaupun mengetahui tetamu itu syaitan, beliau tidak marah,
malah tetap bersabar.
Satu
hari berlaku pula peperangan di negeri itu membabitkan orang yang derhaka
kepada Allah. Raja Zulkifli memerintahkan rakyatnya supaya menghadapi tentangan
orang derhaka itu, tetapi dibantah.
Rakyatnya
berkata: "Wahai raja, kami takut berperang kerana kami masih mahu
hidup. Jika kamu minta kepada Allah untuk menjamin hidup kami, baru kami mahu
berperang."
Mendengar
perkataan rakyatnya itu, Zulkifli berdoa: "Ya Allah, aku menyampaikan
risalah Tuhan kepada mereka, menyuruh mereka berperang, tetapi mereka mempunyai
permintaan. Sesungguhnya Allah mengetahui permintaan mereka."
Tidak
lama selepas itu, Allah menurunkan wahyu: "Wahai Zulkifli, Aku (Allah)
telah mengetahui permintaan mereka dan Aku mendengar doamu. Semuanya Aku akan
kabulkan."
Nabi
Zulkifli digolongkan dalam al-Quran sebagai orang yang sabar dan soleh. Firman
Allah bermaksud: "Dan ingatlah akan Ismail, Nabi Ilyasa' a.s. dan Zulkifli. Semuanya orang
yang paling baik."
Kekeliruan dengan "Kifli"
Zulkifli
yang dinyatakan melalui al-Quran itu bukannya Kifli seperti dinyatakan dalam sebuah
hadis (hasan) yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Tirmizi, iaitu: "Kifli
yang berasal dari kalangan Bani Israel tidak menjaga diri daripada dosa."
Ada
seorang wanita muda datang kepadanya, lalu Kifli memberi wang 60 dinar
kepadanya dengan maksud wanita itu setuju disetubuhi. Setelah Kifli siap
melakukan persetubuhan itu selayak seorang suami ke atas isteri, tiba-tiba
wanita itu gementar dan menangis.
Kifli
bertanya kepada wanita itu: "Kenapa kamu menangis? Apakah kamu tidak
mahu?" Wanita itu menjawab: "Tidak, tetapi perbuatan seperti
itu aku belum pernah lakukan dan aku mahu lakukannya kerana ada keperluan yang
mendesak."
Kifli
berkata: "Jadi, baru kali ini kamu melakukan perbuatan seperti itu.
Sebelum ini kamu belum pernah melakukannya." Kemudian Kifli melepaskan
wanita itu dan berkata: "Pergilah kamu dan bawalah dinar yang telah aku
berikan kepadamu."
Kemudian
Rasulullah bersabda: "Demi Allah,
Kifli tidak melakukan maksiat terhadap Allah selamanya. Selepas itu Kifli
meninggal dunia pada waktu malam dan dipintunya tertulis, Allah memberikan
keampunan kepada Kifli."
Mengikut
teori pada sanad hadis itu, Kifli yang diceritakan dalam hadis berkenaan bukan
Zulkifli kerana ia menyebut perkataan Kifli saja, dengan tidak mengaitkan
perkataan lain yang merujuk pada Zulkifli.
Nabi
Zulkifli mempunyai rakyat yang ramai dan berusia lanjut hingga negerinya padat
dan menghadapi masalah bekalan makanan. Selepas itu, rakyatnya yang panjang
usia meminta Nabi Zulkifli supaya ditentukan ajal.
Baginda
wafat pada usia 75 tahun sebagai seorang nabi dan raja terkenal dengan sikap
sabar dan tidak marah. Beliau juga mematuhi janji dan segala amanah yang
diserahkan raja terdahulu hingga dapat memimpin kaumnya dengan baik.
|
No comments:
Post a Comment