Pos No. 1227 - Nabi Musa a.s.
Kelahiran Nabi Musa
Nabi
Musa diutuskan oleh Allah bagi memimpin Bani Israil ke jalan benar. Beliau
merupakan anak kepada Imran dan Yukabad binti Qahat, (Musa bin Imran bin Qohath
bin Lewi bin Yakqub bin Ishaq bin Ibrahim), bersaudara (adik-beradik mengikut
sesetengah periwayatan) dengan Nabi
Harun, dilahirkan di Mesir pada pemerintahan Firaun.
Firaun Dengan Mimpi
Waktu
kelahirannya cukup cemas kerana Firaun menguatkuasakan undang-undang supaya
setiap bayi lelaki yang dilahirkan terus dibunuh. Tindakan itu diambil kerana
dia sudah terpengaruh dengan ahli nujum yang mentafsirkan mimpinya. Firaun
bermimpi Mesir terbakar dan penduduknya mati, melainkan kalangan Kaum Israel,
sedangkan ahli nujum mengatakan kuasa negara itu akan jatuh ke tangan lelaki
Kaum Israel. Disebabkan khuatir, dia memerintahkan setiap rumah digeledah dan
jika mendapati bayi lelaki perlu dibunuh.
Ibu Nabi
Musa, Yukabad melahirkan seorang bayi lelaki (Musa) dan kelahiran itu
dirahsiakan. Kerana merasa bimbang dengan keselamatan Musa, apabila musa
mencecah umur tiga bulan Musa dihanyutkan ke Sungai Nil. Musa yang terapung di
sungai itu ditemui isteri Firaun , Asiah sendiri ketika sedang mandi dan tanpa
berlengah dibawanya ke istana. Melihat isterinya membawa seorang bayi, Firaun
dengan tidak teragak-agak menghunuskan pedang untuk membunuh Musa. Asiah
berkata: “Janganlah dibunuh anak ini kerana aku menyayanginya. Baik kita
menjadikannya seperti anak sendiri kerana aku tidak mempunyai anak.” Dengan
kata-kata dari Asiah tersebut, Firaun tidak sampai hati untuk membunuh Musa.
Nabi Musa Bertemu ibunya
Kemudian
Asiah mendapatkan pengasuh tetapi tidak seorang pun yang dapat mendodoikan Musa
dengan baik, malah dia asyik menangis dan tidak mahu disusui. Selepas itu,
ibunya sendiri tampil untuk mengasuh dan membesarkannya di istana
Firaun.Al-Quran menghuraikan peristiwa itu: “Maka Kami kembalikan Musa kepada
ibunya supaya senang hatinya dan tidak berdukacita dan supaya dia mengetahui
janji Allah itu benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”
Pada
satu hari, Firaun mendukung Musa yang masih kanak-kanak, tetapi dengan
tiba-tiba janggutnya ditarik hingga dia kesakitan, lalu berkata: “Wahai
isteriku, mungkin kanak-kanak ini yang akan menjatuhkan kekuasaanku.” Isterinya
berkata: “Sabarlah, dia masih kanak-kanak, belum berakal dan mengetahui apa
pun.” Sejak berusia tiga bulan hingga dewasa Musa tinggal di istana itu
sehingga orang memanggilnya Musa bin Firaun. Nama Musa sendiri diberi keluarga
oleh Firaun. “Mu” bermakna air dan “sa” bermaksud pokok sempena tempat
penemuannya di tepi Sungai Nil oleh Asiah.
Mukjizat Nabi Musa hadapi Firaun
Meleraikan pergaduhan
Kisah
pertembungan di antara mukjizat Nabi Musa dengan sihir dari tukang sihir firaun
dikata bermula disebab satu peristiwa di mana pada satu ketika semasa Musa
mengambil meninjau di sekitar kota dan kemudian beliau terserempak dua lelaki
sedang berkelahi, masing-masing di kalangan Bani Israel bernama Samiri dan
bangsa Firaun, Fatun. Melihatkan pergaduhan itu Musa mahu mententeramkan
mereka, tetapi ditepis Fatun. Tanpa berlengah Musa terus menghayunkan satu
penumbuk ke atas Fatun, lalu tersungkur dan meninggal dunia.
Nabi Musa keluar dari Mesir dan berkahwin
Tidak
lama kemudian orang ramai mengetahui kematian Fatun disebabkan Musa dan berita
itu turut disampaikan kepada pemimpin kanan Firaun. Akhirnya mereka mahu
menangkap Musa. Disebabkan terdesak, Musa mengambil keputusan keluar dari
Mesir. Beliau berjalan tanpa arah dan tujuan, tetapi selepas lapan hari, beliau
sampai di kota Madyan, iaitu kota Nabi Syu’aib di timur Semenanjung Sinai dan
Teluk Aqabah di selatan Palestin.
Musa
tinggal di rumah Nabi Syu’aib a.s.
(Jethro) beberapa lama sehingga berkahwin dengan anak gadisnya bernama Ṣaffūrah
(Zipporah). Selepas menjalani kehidupan suami isteri di Madyan, Musa meminta
izin Syu’aib untuk pulang ke Mesir.
Berbicara dengan Allah
Dalam
perjalanannya itu, akhirnya baginda dan isterinya tiba di Bukit Sinai. Dari
jauh, baginda ternampak api, lalu terfikir mahu mendapatkannya untuk dijadikan
penyuluh jalan. Baginda meninggalkan isterinya sebentar untuk mendapatkan api
itu. Apabila sampai di tempat api menyala itu, baginda mendapati api menyala
pada sebatang pokok, tetapi tidak membakar pokok berkenaan. Ini
menghairankannya dan ketika itu baginda terdengar suara wahyu daripada Tuhan.
Selepas
itu Allah berfirman kepadanya, bermaksud: “....Wahai Musa sesungguhnya Aku
Allah, iaitu Tuhan semesta alam.”
Firman-Nya
lagi, bermaksud: “Dan lemparkan tongkatmu, apabila tongkat itu menjadi ular
Musa melihatnya bergerak seperti seekor ular, dia berundur tanpa menoleh. Wahai
Musa datanglah kepada-Ku, janganlah kamu takut, sungguh kamu termasuk orang
yang aman.”
Selepas
itu Allah berfirman lagi kepada Musa, maksudnya: “Masukkan tanganmu ke leher
bajumu, pasti keluar putih bersinar dan dakapkan kedua tanganmu ke dada kerana
ketakutan....”. Tongkat baginda yang bertukar menjadi ular dan tangan putih berseri-seri
itu adalah dua mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Musa.
Pulang ke Mesir dan berhadapan dengan ahli sihir firaun
Tatkala
baginda dalam perjalanan pulang dari Madyan ke Mesir, bagi menghadapi Firaun
dan pengikutnya yang fasik. Firaun cukup marah mengetahui kepulangan Musa yang
mahu membawa ajaran lain daripada yang diamalkan selama ini sehingga memanggil
semua ahli sihir untuk mengalahkan dua mukjizat berkenaan. Ahli sihir Firaun
masing-masing mengeluarkan keajaiban, ada antara mereka melempar tali terus
menjadi ular. Namun, semua ular yang dibawa ahli sihir itu ditelan ular besar
yang berasal daripada tongkat Musa.
Firman
Allah bermaksud: “Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu, pasti ia
akan menelan apa yang mereka buat. Sesungguhnya apa yang mereka buat itu hanya
tipu daya tukang sihir dan tidak akan menang tukang sihir itu dari mana saja ia
datang.”
Semua
keajaiban ahli sihir itu ditewaskan Musa menggunakan dua mukjizat berkenaan,
menyebabkan sebahagian daripada kalangan pengikut Firaun, termasuk isterinya
mengikuti ajaran yang dibawa Musa. Melihatkan ahli sihir dan sebahagian
pengikutnya beriman dengan ajaran Nabi Musa, Firaun marah, lalu menghukum
golongan berkenaan. Manakala isterinya sendiri diseksa hingga meninggal dunia.
Nabi Musa membelah laut dan tenggelamnya firaun dan kuncu-kuncunya
Nabi
Musa bersama orang beriman terpaksa melarikan diri sehingga mereka sampai di Laut
Merah. Dengan kuasa Allah, laut itu terbelah dan
mereka dapat melintasinya. Namun, Firaun dan tenteranya yang sudah mengamuk
mengejar mereka dari belakang, tetapi mereka semua mati ditenggelamkan laut.
Al-Quran
menceritakan: “Dan ingatlah ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami
selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun dan pengikutnya sedang kamu
sendiri menyaksikan.”
Nabi Musa bermunajat di Bukit Sina
SELEPAS
keluar dari Mesir, Nabi Musa bersama sebahagian pengikutnya dari kalangan Bani
Israel menuju ke Bukit Sina untuk mendapatkan kitab panduan daripada Allah.
Namun, sebelum itu Musa disyaratkan berpuasa selama 30 hari pada Zulkaedah.
Ketika mahu bermunajat, beliau beranggapan bau mulutnya kurang menyenangkan.
Beliau menggosok gigi dan mengunyah daun kayu, lalu perbuatannya ditegur
malaikat dan beliau diwajibkan berpuasa 10 hari lagi.Dengan itu puasa Musa
genap 40 hari.
Sewaktu
bermunajat, Musa berkata: “Ya Tuhanku, nampakkanlah zatMu kepadaku supaya aku
dapat melihatMu.” Allah berfirman: “Engkau tidak akan sanggup melihatKu, tetapi
cuba lihat bukit itu. Jika ia tetap berdiri tegak di tempatnya seperti
sediakala, maka nescaya engkau dapat melihatku.” Musa terus memandang ke arah
bukit yang dimaksudkan itu dan dengan tiba-tiba bukit itu hancur hingga masuk
ke perut bumi, tanpa meninggalkan bekasnya.Musa terperanjat dan gementar
seluruh tubuh lalu pengsan.
Bertasbih
Apabila
sedar, Musa terus bertasbih dan memuji Allah, sambil berkata: “Maha besarlah
Engkau ya Tuhan, ampuni aku dan terimalah taubatku dan aku akan menjadi orang
pertama beriman kepadaMu.” Sewaktu bermunajat, Allah menurunkan kepadanya kitab Taurat. Menurut ahli tafsir, ketika itu kitab
berkenaan berbentuk kepingan batu atau kayu, namun padanya terperinci segala
panduan ke jalan diredhai Allah.
Sebelum
Musa pergi ke bukit itu, beliau berjanji kepada kaumnya tidak akan meninggalkan
mereka lebih 30 hari. Tetapi Nabi Musa tertunda 10 hari, kerana terpaksa
mencukupkan 40 hari puasa. Bani Israel kecewa dengan kelewatan Musa kembali
kepada mereka. Ketiadaan Musa membuatkan mereka seolah-olah dalam kegelapan dan
ada antara mereka berfikir keterlaluan dengan menyangka beliau tidak akan
kembali lagi. Dalam keadaan tidak menentu itu, seorang ahli sihir dari kalangan
mereka bernama Samiri mengambil kesempatan menyebarkan perbuatan syirik. Dia
juga mengatakan Musa tersesat dalam mencari tuhan dan tidak akan kembali.
Ketika itu juga, Samiri membuat sapi betina daripada emas. Dia memasukkan
segumpal tanah, bekas dilalui tapak kaki kuda Jibril ketika mengetuai Musa dan
pengikutnya menyeberangi Laut Merah. Patung itu dijadikan Samiri
bersuara.(Menurut cerita, ketika Musa dengan kudanya mahu menyeberangi Laut
Merah bersama kaumnya, Jibril ada di depan terlebih dulu dengan menaiki kuda
betina, kemudian diikuti kuda jantan yang dinaiki Musa dan pengikutnya. Kemudian
Samiri menyeru kepada orang ramai: “Wahai kawan-kawanku, rupanya Musa sudah
tidak ada lagi dan tidak ada gunanya kita menyembah Tuhan Musa itu. Sekarang,
mari kita sembah anak sapi yang diperbuatkan daripada emas ini. Ia dapat
bersuara dan inilah tuhan kita yang patut disembah.”
Selepas
itu, Musa kembali dan melihat kaumnya menyembah patung anak sapi. Beliau marah
dengan tindakan Samiri.
Firman
Allah: “Kemudian Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan bersedih hati.
Berkata Musa; wahai kaumku, bukankah Tuhanmu menjanjikan kepada kamu suatu
janji yang baik? Apakah sudah lama masa berlalu itu bagimu atau kamu
menghendaki supaya kemurkaan Tuhanmu menimpamu, kerana itu kamu melanggar
perjanjianmu dengan aku.”
Musa
bertanya Samiri, seperti diceritakan dalam al-Quran: “Berkata Musa; apakah yang
mendorongmu berbuat demikian Samiri? Samiri menjawab: Aku mengetahui sesuatu
yang mereka tidak mengetahuinya, maka aku ambil segenggam tanah (bekas tapak
Jibril) lalu aku masukkan dalam patung anak sapi itu. Demikianlah aku menuruti
dorongan nafsuku.”
Kemudian
Musa berkata: “Pergilah kamu dan pengikutmu daripadaku, patung anak sapi itu
akan aku bakar dan lemparkannya ke laut, sesungguhnya engkau akan mendapat
seksa.”Umat Nabi Musa bersifat keras kepala, hati mereka tertutup oleh
kekufuran, malah gemar melakukan perkara terlarang, sehingga sanggup menyatakan
keinginan melihat Allah, baru mahu beriman.
Firman
Allah: “Dan ingatlah ketika kamu berkata: Wahai Musa, kami tidak akan beriman
kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang, kerana itu kamu disambar
halilintar, sedangkan kamu menyaksikannya. Selepas itu Kami bangkitkan kamu
selepas mati, supaya kamu bersyukur.”
Kezaliman Firaun
Allah
memberikan banyak nikmat kepada Bani Israel, antaranya dibebaskan daripada
kezaliman Firaun, menjalani kehidupan di kawasan subur, mempunyai Taurat dan
rasul di kalangan mereka, tetapi mereka tidak bersyukur, malah memberikan
pelbagai alasan. Mereka juga membelakangi wahyu Allah kepada Musa supaya
berpindah ke Palestin. Alasan diberikan kerana mereka takut menghadapi suku
Kan’an. Telatah Bani Israel yang pengecut itu menyedihkan hati Musa, lalu
beliau berdoa: “Ya Tuhanku, aku tidak menguasai selain diriku dan diri
saudaraku Harun, maka pisahkanlah kami dari orang fasik mengingkari nikmat dan
kurniaMu.”
Hukuman
Bani Israel yang menolak perintah itu ialah Allah mengharamkan mereka memasuki
Palestin selama 40 tahun dan selama itu mereka berkeliaran di atas muka bumi
tanpa tempat tetap.Mereka hidup dalam kebingungan sehingga semuanya musnah.
Palestin kemudian dihuni oleh generasi baru.
Bani
Israel juga memperlekehkan rasul mereka, yang dapat dilihat melalui kisah sapi
seperti dalam surah al-Baqarah: “Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada
kaumnya, sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih sapi betina. Mereka
berkata; apakah kamu hendak menjadikan kami bahan ejekan...”
Musa
meninggal dunia ketika berusia 120 tahun, tetapi ada pendapat menyatakan
usianya 150 tahun di Bukit Nabu’, tempat diperintahkan Allah untuk melihat
tempat suci yang dijanjikan, iaitu Palestin. Tetapi beliau tidak sempat
memasukinya.
No comments:
Post a Comment