Monday, 18 April 2011

Masalah Agama Bab 76. - Siaran pos 81









MASALAH 76. Isteri juga punyai hak mentalaq suami?

Saya difahamkan bahawa sungguhpun seorang suami mempunyai hak mentalaqkan atau menceraikan isterinya dengan syarat-syarat tertentu tetapi juga saya difahamkan  seorang isteri  juga mempunyai   hak menceraikan suaminya serkiranya keadaan memaksa yang menimpakan dirinya. Minta tuan terangkan perkara-perkara hak tersebut?

Jawapan.

Islam  telah memberikan keadilan layanan kepada si isteri kerana dia memiliki hak terhadap dirinya, iaitu hak  membuat  tuntutan bagi melepaskan dirinya dari cengkaman si suami ketika dia berada di dalam keadaan terhimpit oleh gelagat  si suami yang tidak bertanggungjawab dan dia tidak mampu lagi meneruskan hidup bersama-sama.  Dia memiliki hak menuntut cerai daripada suaminya sekalipun dengan memulangkan maskahwin yang diterimanya atau lain-lain bayaran. Itulah yang dinamakan ”KHULUK” atau disebut sebagai tebus talak. Sealian dari itu terdapat juga satu lagi hak terhadap si isteri iaitu yang dinamakan ’FASAKH’.

KHULUK  – atau lebih terkenal sebagai tebus talaq.  Perkataan khuluk dari susdut bahasanya membawa erti mencabut atau menanggalkan, seperti seseorang itu menanggalkan pakaiannya.  Ia juga disebut sebagai tebus talak kerana si isteri ketika meminta khuluk, menebus dirinya dengan sesuatu
yang diberikan kepada suaminya supaya diceraikan.

 Dari sudut istilah khuluk bermaksaud Perceraian yang berlaku di antara sepasang suami isteri dengan tebusan yang dibayar kepada suami menurut kadar yang telah dipersetujui, sama ada dengan menggunakan lafaz talaq atau lafaz khuluk, seperti suami berkata ”Kau ku talaqkan ” atau  ”Kau  ku khulukkan dengan bayaran sepuluh ribu ringgit”. Kemudian si isteri bersetuju dan membayar jumlah tersebut kepada suaminya.

Perbuatan menceraikan isteri menerusi khuluk adalah di hukunm makruh, kecuali jika dilakukan atas sebab-sebab yang diharuskan oleh sayarak. Sebahagian ulamak berpendapat khuluk yang tidak berasaskan kepada sebab-sebab yag diharuskan oleh syarak adalah haram. Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
”Mana-mana perempuan yang menebus dirinya daripada suamainya tanpa sesuatu kesalahan, maka dia tidak akan mencium bau syurga”

Di antara sebab-sebab yang mengharuskannya ialah:

a.     Suaminya cacat tubuh badannya.
b.     Suami yang buruk akhlaknya.
c.      Suami atau isteri tidak melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan,
d.     Isteri takut melanggar hukum Allah kerana tidak taat kepada suaminya (arahan untuk melakukan perkara maksiat)

Perceraian yang dilakukan menerusi khuluk menyebabkan bekas suami tidak dapat merujuk isterinya kercuali dengan akad perkahwinan yang baru, yang akan menurut dengan syarat-syarat yang tertentu. Dan dia juga tidak boleh menambahkan talaqnya semasa di dalam idahnya. Hal ini disebabkan si isteri yang dikhuluk sudah terkeluar dari penjagaan dan tanggungjawab suaminya dan perceraian yang berlaku merupakan Talaq Ba’in.  Dengan berlakunya khuluk si isteri diwajibkan membayar kadar pembayaran yang telah dipersertujui di antaranya dengan bekas suaminya.

Khuluk mempunyai rukun-rukunya seperti berikut:-

a.     Suami yang sah talaqnya mengikut syarat-syarat talaq. Dengan kerana itu tidak sah khuluk daripada seorang suami yang masih kanak-kanak atau gila atau dipaksa.

b.     Isteri yang menguasai hartanya.  Dengan kerana itu tidak sah khuluk yang dikemukakan oleh seorang isteri yang ditahan hartanya atau bodoh atau tidak siuman.

c.      Isteri masih menjadi milik suami.  Dengan kerana itu tidak sah khuluk jika si isteri belum menjadi milik suaminya, seperti seorang perempuan yang akan dikahwininya.

d.     Sesuatu yang telah dipersetujui untuk dibayar kepada si suami apabila dia (suami) melakukan khuluk terhadap isterinya.

e.      Sighah iaitu ucapan khuluk.  Ia dikehendaki dengan menggunakan lafaz yang sareh dan mengandungi ijab dan kabul. (180)

Syarat-syarat yang dikehendaki mengenai ijab dan kabul adalah sama dengan syarat-syarat yang perlu pada ijab dan kabul jual beli iaitu:

a.               Tidak harus diselangi dengan perkataan-perkataan lain yang tidak ada kaitan dengan lafaz khuluk.
b.              Tidak harus diselangi dengan diam yang lama.
c.               Mistilah bersamaan maksud di antara ijab dan kabul.
d.              Sebagai contoh kepada lafaz yang sah apabila suami berkata kepada isterinya:
”Saya ceraikan engkau dengan RM 1,000.00 ringgit”
Isterinya menjawab:
”Saya terimalah”

Atau si isteri berkata kepada suamainya:
”Kamu khulukkan saya dengan RM 1,000.00 ringgat”

Suaminya menjawab:
”Saya khulukan engkau dengan RM 1,000.00 ringgit”

Bercerai menerusi khuluk boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, sama ada si isteri itu dalam masa sucinya atau di dalam masa haidnya.

Pembayaran khuluk harus dilakukan dengan apa sahaja yang boleh dijadikan maskahwin, sama ada dijelaskannya secara tunai ataupun secara hutang. Tentang menentukan  jenis bayarannya berdasarkan kepada persetujuan diantara kedua belah pihak.

Tempat berlangsungnya khuluk dengan persetujuan  kedua dua suami isteri sama ada di rumah kediaman mereka tanpa memerlukan bantuan kehakiman. Jika keadaan suami enggan bersetuju untuk menyelesaikan krisis mereka, si isteri harus memohon bantuan kehakiman.

Tidak sah khuluk jika si suami mengambil kesempatan dengan menyiksa isterinya sebelum itu atau sengaja tida memberikan nafkah kepada si isteri dengan tujuan supaya si isteri memohon khuluk dan si suami boleh menggunakan wang tebusan tersebut untuk sesuatu kepetinganya sendiri.

Idah khuluk – Pendapat jumhur ulamak si isteri dikehendaki beridah selama tiga kali suci jika ia seorang perempuan yang berhaid. Jika perempuan yang telah berhenti haidnya kerana tua ialah selama tiga bulan.(Al-Quran surah Al-Talaq ayat 4) Semasa beridah khuluk bekas isterinya mempunyai hak tempat tinggal untuk di diaminya. Ia tidak dapat apa-apa nafkah daripada bekas suaminya lagi kerana hubunganya telah terputus kecuali  ia hamil maka ia berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal.

FASAKH
Fasakh atau tuntutan menjatuhkan talaq, ialah satu lagi hak kepunyaan si isteri untuk membebaskan dirinya dari perbuatan kezaliman si suaminya.  Fasakh merupakan satu jalan bagi kedua-dua pasangan suami isteri melepaskan diri masing-masing dari ikatan rumahtangga yang tidak lagi sesuai akibat timbul beberapa sebab tertentu atau kerana berlaku kecacatan.


Maksud  fasakh ialah tindakan merombak atau memutuskan hubungan perkahwinan di antara suami isteri yang dilakukan oleh Kadhi dengan sebab-sabab tertentu tanpa ucapan talaq.  Bagi pihak isteri fasakh berperanan membela nasibnya di saat dia tidak mampu meneruskan hidupnya bersama-sama suaminya.  Dengan itu sesiapa pun tidak boleh mendakwa sebagai tidak adil apabila  si suami diberi hak atau kuasa mencerai atau menjatuhkan talaq ke atas isterinya kerana si isteri juga mempunyai hak untuk mengatasi kesulitannya menerusi fasakh atau tuntutan menjatuhkan talaq.

Seorang isteri harus menuntut fasakh perkahwinannya dengan sebab-sebab berikut:


a.        Kecacatan suami  -merangkumi lemah alat kelamin, seorang yang berpnyakit berjangkit atau merbahaya, dengan sebab gila atau perkara yang tidak dingini oleh tabiat manusia.
b.        Tidak mendapat nafkah atau nafkah yang tidak mencukupi.
c.         Tidak mendapat nafka batin.
d.        Pembohongan– seperti mengakui seorang baik sebelum berkahwin.
e.         Pergaulan yang buruk – seperti menyiksa isterinya.
f.          Suami dipenjarakan kerana sesuatu kesalahan jenayah.
g.        Mandul – jika diyakini suaminya yang menyebabkannya.
h.        Suami menghilngkan diri, tidak diketahui di mana ianya berada.
i.          Tidak membayar mahar –seperti tidak sanggup lagi membayar mahar tunai yang disebut dalam akad nikah.

Hubungan perkahwinan –Perceraian dengan sebab fasakh menyebabkan hubungan perkahwinan mereka terputus. Mereka tidak dapat kembali semula sebagai pasangan suami isteri kecuali dengan akad perkahwian yang baru sekalipun bekas isteri masih di dalam idahnya. Kedudukannya  sama seperti di dalam Talak Bai’in. Perceraian berlaku menerusi fasakh ini maka bilangan talaqnya tidak akan berkurangan sekalipun dia merujuk kepadanya sesudah itu dengan akad  perkahwinan yang baru.

Idah fasakh (152) – Isteri yang telah difasakh perkahwinannya akan menjalani idahnya seperti perempuan-perenmpuan lain yang diceraikan menerusi talaq atau khuluk iaitu idah perempuan yang masih didatangi haid ialah selama tiga kali suci.  Jika berlaku fasakh pada masa sucinya maka idahnya akan tamat dengan kedatangan haidnya yang ketiga. Tetapi jika fasakh pada masa haidnya atau pada masa nifasnya maka idahnya akan tamat dengan kedatangan haidnya yang keempat. Bagi perempuan yang belum berhaid (kerana masih kecil)  atau yang telah berhernti haidnya kerana tua ialah selama tiga bulan. Jika fasakh itu berlaku sebelum disetubuhi maka dia tidak akan beridah. (Al-Quran surah al Talaq ayat 4)
((Rujukan Kitab Undang-Undang Keluarga Islam –Aturan Perkahwinan 2002 m. s 152,177 dan 186.
             -----------------------oooooooooooooooooo-----------------------------

No comments:

Post a Comment